Sebab Itu Tok Guru Bersifat Terbuka

Liqa Fikri 2017Ringkasan Isi Ucapan YB Ust Idris Ahmad Dalam Liqa Fikri PAS Terengganu
1. Malaysia rugi jika banyak parti Islam. Semua pakat nak bertanding, yang menang sekular. Sebab itu Tok Guru bersifat terbuka, bersedia terima orang lain masuk PAS, supaya dapat fokus lawan parti sekular. Namun, yang berlaku ialah ada yang masuk punya agenda tertentu hingga akhirnya mereka keluar dari PAS.
2. PAS bawa perjuangan bersifat sangat asas dan fundamental. Prinsip-prinsip Islam tidak boleh dikompromi. Golongan lain yang ada prinsip tersendiri tidak mahu terima. Mereka cuma mahukan golongan yang bawa Islam tanpa syariat. Sebab itu mereka yang bawa Islam tanpa mahu tegakkan syariat boleh diterima oleh golongan lain yang seperti mereka.
3. PAS dilihat oleh pihak lain supaya tidak menang pilihanraya. Mereka tidak mahu rakyat memilih PAS sebagai ganti Umno/BN dengan sebab PAS yang berpegang kepada prinsip Islam yang tidak boleh dikompromi tadi.
4. Umno ibarat mengidap ‘kanser tahap 4′. Mereka tidak mahu apabila rakyat tolak Umno, rakyat akan pergi kepada PAS, lalu mereka buat supaya rakyat sokong yang lain, yang lebih mesra dengan mereka.
5. Imej PAS mesti dirosakkan. Di antaranya dibuat tuduhan Sarawak Report bahawa PAS terima RM90 juta dari Umno. PAS lantik peguam di London usaha jayakan kes ini yang boleh dianggap sebagai berprofil tinggi. Tidak pelik konspirasi peringkat antarabangsa dibuat untuk merosakkan imej PAS.
6. PAS sertai pilihanraya kerana ia selamat. Nabi SAW pernah diberi pilihan di antara 2 perkara, lalu Nabi pilih yang lebih mudah.
7. Tok Guru Nik Aziz pernah sebut orang yang undi PAS banyak pahala kerana banyak aktiviti dan program Islam dapat dibuat apabila PAS berkuasa  di Kelantan. Di antaranya akaun kerajaan negeri dipindahkan ke Bank Islam, sehingga kesannya ialah bank bukan Islam pun tergerak hati membuat kaunter Islam. Ia kesan positif kepada sistem perbankan Islam. Dengan adanya kerajaan Islam, apabila umat Islam desak supaya program Islam dibuat, tentu kerajaan akan ikut.
8. PAS selalu difitnah ber’UG’ dengan Umno. Sebenarnya PH yang ber’UG’ dengan Umno apabila ada ahli Parlimen PH sedia bekerjasama untuk dapatkan 2/3 sokongan dalam Parlimen untuk ubah Perkara 88a yang berkait dengan Akta 164. Tetapi apabila kita berusaha untuk luaskan bidang kuasa mahkamah syariah melalui Akta 355, kita dianggap ber’UG’ dengan Umno.
9. PAS perlukan kuasa untuk tegakkan Islam. PAS mesti kuat. Dengan kuatnya PAS, PH juga mahu pujuk PAS, begitu juga Umno. PAS punya jentera pilihanraya yang tidak dipunyai oleh parti lain.
10. Penyelesaian mesti dengan Islam. Kita kemukakan WINS (Wawasan Induk Negara Sejahtera) yang ada agenda masa panjang untuk negara. Kita bawa budaya politik matang dan sejahtera, BPMS yang di antaranya meletakkan Islam sebagai penyelesaian.
11. DAP hanya bercakap tentang akauntabiliti tetapi kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri ada masalah akauntabiliti. Itu baru perintah negeri, belum perintah Malaysia lagi. Justeru, akauntabiliti bagi DAP hanya retorik. Kita sudah laksanakan Islam dan program yang dituntut Islam di Kelantan dan Terengganu (tanah untuk rakyat, tiada tol, tiada exco dikaitkan dengan rasuah dan lain-lain).
12. Kita perlu pasak keimanan. Antaranya patuh kepada pimpinan ketika mereka taatkan Allah.
Kalau pimpinan tidak taat, kita tidak ikut. Sebab itu apabila kumpulan yang disebut G18 lari dari PAS, ahli tidak kisah. Dalam sejarah, Presiden PAS pernah lari, tapi pengikut tidak lari. Ketika PAS masuk kerajaan campuran, ada pimpinan PAS yang tidak setuju. Mereka hanya beruzlah. Apabila PAS tidak lagi dalam kerajaan campuran, mereka kembali aktif. Dato’ Asri hebat tapi bila lari, orang tidak ikut. Kita tarbiah ahli dengan iman, bukan taksub dengan orang.
13. Pengorbanan orang dahulu lebih hebat dari sekarang. Dalam sejarah PAS, perhimpunan di Gunung Semanggol boleh kumpul 10 ribu orang. Ketika itu kenderaan tidak banyak. Kereta pun yang ada seperti Austin dan Morris Minor. Pimpinan pernah ditahan oleh Pemuda Tahan Lasak. Kini PAS jadi hebat dengan jasa orang dahulu.  Jangan ada rasa ragu terhadap apa yang kita bawa ini.
14. Isu kos sara hidup sangat penting dan menyentuh hati rakyat. Justeru, kita perlu garap isu ini untuk tambat hati rakyat.
15. Dari segi persiapan, jentera cukup penting. Juga perlu jaga ukhuwwah, wala’, kewangan mesti cukup, faktor calon dan doa munajat.
Catatan:
Ustaz Nik Muhammad Nasri
Ketua Unit Liqa Fikri Jabatan Tarbiah PAS Terengganu.
Kompleks Luqman al-Hakim,
Setiu.
Sabtu 21 Okt 17

Hantar Komen Anda