19 Tahun Pemergian Tuan Hj Ali Hj Musa (Pakar Ilmu Nahu Dan Sorof)

Tuan Guru Haji Ali Haji Musa1 April 2017 baru-baru ini, genaplah 19 tahun pemergian almarhum guru saya, Tuan Haji Ali Haji Musa ke rahmatullah yang meninggal pada 1 April 1998. (Kisah saya belajar dengannya: http://www.niknasri.com/?p=1365)

Pondoknya kini di Kampung Siliau sudah tiada. Yang tinggal hanya sebuah surau usang dan rumah yang kedua-duanya tanpa penghuni, Semak-samun memenuhi kawasan sekitar, termasuk pokok-pokok getah. Namun, ilmu yang dicurahkannya, samaada ilmu Tauhid, Tasauf yang diajar selepas Isyak atau ilmu bahasa Arab dengan fokus kepada Tatabahasa Arab (Nahu dan Sorof) yang diajar sejam setiap pagi menjadi ‘ilmun yuntafa’u bih’ yang berpanjangan pahalanya sehingga ke dalam kuburnya, insyaAllah. Anak-anak muridnya yang bertebaran di merata tempat menyambung kaedah pengajaran bahasa Arabnya melalui kelas-kelas pengajian bahasa Arab. Muridnya seperti Ustaz Nazarudin Sarbini di Muar membuka pondok, Ustaz Rosli mengajar bahasa Arab di Negeri Sembilan, juga murid-muridnya yang lain yang saya tiada maklumat mengenai mereka.

Saya sendiri telah mengajar bahasa Arab menurut kaedah dan pendekatan Tuan Guru Haji Ali sudah 17 tahun, mulai tahun 2000 sekembali dari Jordan sehingga sekarang. Murid-murid saya ada pelbagai latarabelakang-jurutera, doktor, guru, ustazah, pensyarah sehingga surirumah biasa. Minat mereka mempelajari bahasa Arab menyebabkan mereka bersungguh mempelajarinya.

Saya sentiasa ingat pesanan almarhum Tuan Guru Haji Ali: “Pelajarilah bahasa Arab dan ajarkanlah ia kepada manusia’.

Hantar Komen Anda