Halab: Kepada Siapa Kami Mengharap?

HalabRegim Basyar Asad ditolak oleh rakyatnya sendiri. Dia memilih untuk menghapuskan rakyatnya dari berundur. Rupa-rupanya kekuasaan menjadikan manusia tidak siuman lebih dari orang yang memang tidak siuman. Negara Syria sudah musnah. Ia dimusnahkan oleh kerajaannya sendiri.

Terbaharu, Halab, khususnya Halab Timur dibom bertubi-tubi oleh Regim Asad, disertai oleh tentera zalim Rusia, bersama Iran dan militia puak. Rakyat awam menjadi mangsa. Kejadian yang sangat dahsyat ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Gambar juga hanya berbicara hanya sebahagian dari hakikat sebenar yang tidak tertanggung.

Barat segera bising kalau seorang dua rakyatnya dibunuh. Namun, bila darah itu darah orang lain, khususnya darah umat Islam, ia hanya dianggap seperti anak ayam yang mati di tepi kali. PBB diam, OIC lagi diam. Liga Juara-Juara barangkali lebih baik dari Liga Arab. Lalu siapa yang akan membantu?

Kalaulah bumi Halab itu seorang manusia, yang sedang dihujani dengan pelbagai jenis bom dari udara, serta buminya dipenuhi dengan darah, dan di celah-celah runtuhan bangunan itu masih ada manusia yang merintih meminta tolong, mungkin Halab berteriak: “Tolonglah kami! Bantulah kami! Siapa lagi yang boleh kami berharap?”

Hasbunallah wa ni’mal wakil.

Hantar Komen Anda