Manhaj Perjuangan PAS: ‘PAS Adalah PAS’

Liqa Fikri PAS Terengganu 2016Kebenaran perjuangan PAS ini dengan berdasarkan ayat-ayat alQuran dan Hadis sebagai sumber rujukan tertinggi bagi seorang Islam dan dalam berorganisasi. PAS juga mengambil pengalaman gerakan Islam yang lain, tetapi diolah mengikut metod PAS, dengan mengambilkira suasana setempat dan tidak mengambil secara ‘copy paste’ sahaja seperti sebahagian individu dari gerakan lain.

Perkara ini ditegaskan oleh YB Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS Pusat di hadapan lebih 500 orang hadirin dalam program Liqa’ Fikri (Pertemuan yang bermaksud menjernihkan dan mewujudkan kesatuan pemikiran dan amal) anjuran Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu melalui Unit Liqa’ Fikri pada 23 Sept 2016 bertempat di Masjid Lama Sura, Dungun dengan tajuk: Manhaj Perjuangan PAS.

Beliau juga menegaskan PAS tidak berganjak dari perjuangan yang telah diasaskan oleh para ulama tanahair terdahulu yang menyambung risalah perjuangan Islam dari para Nabi. PAS berpegang dengan prinsip, yang menjadikan ia tidak terpengaruh dengan mudah kepada gerakan lain.

YB Ustaz Idris mengambil contoh tokoh dalam PAS yang telah meninggal dunia seperti Ustaz Yahya Othman yang pernah mendapat pendidikan terus dan langsung dari pimpinan Ikhwan Muslimin antarabangsa. Namun, apabila beliau ditanya tentang PAS dan manhaj tarbiahnya, beliau menjawab: ‘PAS adalah PAS’.

Demikian juga pimpinan PAS yang lain seperti Presiden PAS sendiri, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, almarhum Dato Harun Taib dan beberapa orang lagi yang pernah ditarbiah secara langsung oleh pimpinan Ikhwan seperti Sheikh Said Hawwa. Kita ini barangkali hanya membaca buku mereka sahaja, tetapi tidak tokoh-tokoh tadi.

Pernah juga berlaku Revolusi Islam Iran yang dianggap hebat apabila rakyat bangkit menentang pemerintah yang zalim dan menjatuhkan pemerintah yang zalim. Namun, tidak perlu membawa mazhab Syiah itu ke sini. Malaysia adalah Malaysia. Kita hanya mengambil semangat dari Revolusi itu. Strategi, taktik diambilkira mengikut kesesuaian suasana di Malaysia. PAS mempunyai badan Majlis Syura Ulama yang menentukan hukum, sementara taktik, strategi dibincang oleh AJK PAS Pusat dan khususnya Lajnah Politik PAS Pusat.

Dengan membawa satu contoh lain, dahulunya pernah ada di kalangan mereka yang mendapat tarbiah dari gerakan lain masuk ke dalam PAS, membuat usrah dengan memadam lampu. Di sebuah IPT, pernah berlaku usrah di tempat yang begitu terasing dan terperosok. Mereka mengambil bulat-bulat manhaj dari luar tanpa mengambilkira suasana setempat yang berbeza. Golongan inilah yang kemudiannya masuk sebuah parti serpihan yang baharu ditubuhkan.

PAS sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak ada pada gerakan Islam lain. PAS pernah menang pilihanraya sejak 1959. Calon-calonnya ialah guru-guru pondok. Ikhwan sendiri lama dahulu tidak menang pilihanraya, walaupun mereka ada kelebihan lain seperti melatih kader dan sebagainya.

PAS mempunyai teks dan silibus usrahnya. Ia mungkin agak rendah dari silibus Ikhwan, tetapi itupun tidak habis untuk dibincang dan tidak mudah untuk dibuat. Selain usrah, kuliah umum juga dibuat sebagai medium mentarbiah masyarakat dengan Islam. Ia mesti aada beberapa komponen: fahamkan tentang Islam,  beri tasawwur (gambaran) Islam sebenar serta mengajak menghayati Islam dan perjuangan Islam.

Sehingga kini, setiap bulan, di antara 2000 ke 3000 orang masuk PAS. Almarhum Dato Harun Taib pernah berkata: ‘PAS macam hospital, semua kita terima. Dan kemudian kita jugalah yang mesti mentarbiah dan mendidik mereka’

Tarbiah Islamyang berterusan inilah yang menjadi kekuatan PAS hingga kini. Mereka yang lari dari PAS, sebenarnya kehilangan ramai pengikut, kerana pengikut ini walaupun hanya rakyat bawahan dan biasa sahaja, namun mereka difahamkan dengan perjuangan Islam dan Istiqamah.

PAS sudah berjuang lebih 60 tahun. PAS akan terus kuat dengan Islam, bergayut di dahan Islam yang kukuh.

Turut hadir ialah YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Terengganu, YB Dr Alias Razak, Timbalan Pesuruhjaya, Dato Husin Awang, Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu dan seluruh pemimpin PAS di semua peringkat.

Hantar Komen Anda