Mursyid al-Am PAS, Datuk Dr Harun Din Tinggalkan Legasi

Datuk Dr Harun DinBenarlah Allah yang berfirman, bermaksud: “Satu diri itu tidak tahu di bumi mana dia akan mati.” Datuk Dr Harun Din meninggal di California, satu nama dan satu tempat yang cukup jauh bagi ahli keluarga almarhum, penuntut dan pengamal perubatan Islam DarulSyifa, pemimpin dan penyokong PAS mahu menziarahi kuburnya. Namun itulah takdir dari Yang Maha Kuasa Dan Maha Mengetahui.

Ia bukan suatu yang asing. Nabi Adam dari syurga, wafatnya di bumi. Nabi Ibrahim dari Iraq, wafatnya jauh dari bumi Iraq. Nabi Muhammad SAW lahir di Mekah, wafatnya di Madinah. Para Sahabat dan ulama lahir dan membesar di pelbagai tempat, tetapi maqam mereka juga bertebaran di seluruh pelusuk dunia.

Yang penting bukan di bumi mana kita mati, kerana bumi ini milik Allah, tetapi bagaimana cara kita mati. Kalau mati itu di tepi Kaabah sekalipun, tetapi mensyirikkan Allah seperti kalangan musyrikin Mekah di awal Islam, apa ertinya?

Almarhum Datuk Dr Harun Din punya ramai anak murid, sama ada murid dalam perubatan Islam DaulSyifanya atau anak muridnya ketika beliau menjasdi pensyarah di universiti dahulu. Tidak ketinggalan anak murid dalam ilmu politik terutama ketika dilantik menjadi Mursyid al-Am PAS menggantikan almarhum Tok Guru Nik Aziz. Ilmu syariah, aqidah, akhlak, perubatan dan pandangan politik yang dicurahkan, itulah yang menjadi peninggalan penting dan legasi yang kekal.

Saya sendiri mengenali beliau semenjak tahun 1980an ketika bersekolah menengah. Mengikuti secara langsung kuliah Maghribnya di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi ketika belajar sekejap di UKM tahun 1987-88, sebelum meninggalkan UKM. Terus mengikuti ceramahnya melalui pelbagai medium, termasuk pelbagai pandangan politiknya selepas dilantik menjadi Mursyid al-Am PAS. Beberapa ucapannya secara spontan ketika menggulung perbahasan dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat, ucapan penangguhan atau peramian Dewan Ulama PAS Pusat, saya catatkan dan saya viralkan serta disiarkan di pelbagai medium.

Tiada lagi ucapan beliau selepas ini yang dapat saya catatkan dari  mulut beliau, namun pendirian tegas dan Istiqamah beliau akan terus diingati. Semoga Allah merahmati roh beliau, menempatkannya bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solehin.

Hantar Komen Anda