‘Tarbiah Mereka Sebagaimana Kita Ditarbiah’

tamrin qiadiKerteh Sabtu 25 Jan 2016- Ketua Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS Terengganu yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat mengingatkan para pemimpin kanan PAS Terengganu agar mentarbiah ahli dan generasi baharu dengan fikrah dan kefahaman perjuangan Islam yang sebenar. Apatah lagi dalam situasi semasa yang penuh dengan cabaran.

(Gambar dari kanan: Ustaz Nik Mahadi, Ustaz Nik Muhammad Nasri, YB Ust Satiful)

Kata beliau: ‘Sistem pengurusan jemaah kini mungkin lebih kemas tetapi mencari seperti ketahanan fizikal Nabi tentunya tidak sama. Quran mungkin disusun dengan lengkap di zaman ini tetapi generasi al Quran yang dibina oleh Nabi SAW tentunya tidak sama dengan generasi yang kita bina.’

‘Lajnah Tarbiah mengadakan program tamrin tahunan ini secara rutin. Kita mungkin sibuk dengan pelbagai tugasan jemaah dan parti, tetapi kita boleh memberi ruang masa untuk ditarbiah walaupun masa dan programnya singkat.’ Ujarnya.

Tambah beliau lagi: ‘Kita mesti rapatkan saf, tingkatkan ukhuwwah, perkukuhkan gerakerja terutama kita ini pimpinan. Bawa bahtera perjuangan ini dengan baik. Kita mesti sediakan pelapis untuk menghadapi cabaran akan datang.’

‘Dar serta institusi pendidikan di bawah seliaan parti sentiasa bersama dengan anak-anak buah, juga termasuk dengan ibubapa mereka. Ini sebenarnya sebuah keluarga besar yang boleh kita manfaatkan.  Begitu juga melalui kuliah-kuliah agama yang disampaikan, cuma ia perlu diperkasakan.’

Sambung beliau lagi: ‘Hasrat Presiden PAS mahu lahirkan 12 ribu ahli yang benar-benar istiqamah, sebagaimana hadis yang menyebutkan tentang tentera yang tidak dapat dikalahkan. Justeru, kita di Terengganu akan usahakan 1000 ahli tersebut, terutama di kalangan nuqaba, bukan nama sahaja nuqaba, tetapi nuqaba yang ada usrah.’

‘Daurah dimulakan di peringkat negeri perlu diturunkan ke peringkat lebih bawah sehingga cawangan dan ahli. Modul mesti dihabiskan supaya ia menjadi persiapan stamina dalaman untuk satu gerakerja yang lebih jauh.’

Beliau juga mengulas pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini: ‘Keputusan PRK itu menunjukkan undian dan sokongan terhadap PAS sekitar 43-50% sebagai undi teras. Ini suatu kejayaan. Itu di pantai barat. Kalau di pantai timur, sepatutnya lonjakan politik yang lebih kuat.’

‘Kiralah tenaga murabbi yang sepatutnya dilahirkan supaya terus istiqamah, apatah lagi jika ditakdirkan pilihanraya berlaku di Terengganu’

‘Ada di kalangan ahli yang mungkin keliru. Justeru, kita sebagai pimpinan kena buat kerja tarbiah, termasuk ahli baru yang semakin ramai. Terengganu antara negeri yang punya ahli teramai, cuma bagaimana kita beri pengisian kepada mereka: Kenapa sokong. PAS, kenapa bersama PAS.’

‘Isu kalangan Tionghua pula, Dewan Himpunan Penyokong PAS mahukan supaya usrah dibuat untuk mereka. Mereka mahu kefahaman yang dibawa kepada masyarakat khususnya non muslim adalah kefahaman yang sebenar. Apa yang diminta oleh DHPP adalah sebenar, bukan hanya cakap-cakap politik. Untuk itu, pihak Lajnah Tarbiah melalui
ILHAM membuat modul khusus untuk DHPP. Sebagai contoh, ucapan wakil DHPP di dalam muktamar baru-baru ini dengan membaca ayat Quran datang dari diri sendiri dan keinginan sendiri tanpa paksaan.’

Beliau terus menyebut: ‘Mungkin kerja kita ada yang tidak glamour tetapi besar kerja dan pahalanya. Kita yang telah ditarbiah sebelum ini oleh pimpinan terdahulu, bagaimana pula kita mendidik generasi berikutnya untuk lahir menjadi nuqaba.

Di antara cabaran kita ialah di IPT. Mereka adalah generasi yang lahir untuk masa akan datang. Dari segi nisbah pelajar dengan mereka yang faham Islam, ia tidak memadai.

Isme lain dari Islam boleh berkembang.
Ada peminat pemikiran iberal. Di Indonesia sudah.lama, tetapi di Malaysia mungkin masih baharu tetapi sekarang ia sedang berkembang.
Anak muda yang jiwanya memberontak mungkin mudah terikut, termasuk bersedia berada di atas platfom perjuangan yang salah. Bahkan menjadi jurucakap untuk ideologi lain.’ kupas beliau lagi.

Program Tamrin Qiadi ini mengumpulkan AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu BPPNT, AJK Dewan-Dewan peringkat negeri dan AJK Lajnah Tarbiah Negeri.

Ia dimulakan selepas Asar petang Jumaat dengan tadarus alQuran, berbuka, solat Maghrib, Isyak danTerawih berjemaah.

Ia kemudiannya diisi dengan pembentangan kertaskerja dengan fokus puasa dan Ramadhan serta kaitannya dengan taqwa dan pembinaan kekuatan dalaman oleh Ustaz Nik Mahadi Nik Mahmood, AJK Lajnah Tarbiah PAS Pusat.

Ia diikuti dengan Hiwar Qiadi bersama kepimpinan PAS Terengganu.

Program diteruskan dengan qiamullail, sahur, solat Subuh berjemaah dan diakhiri dengan taujihat dari YB Ustaz Satiful Bahri Mamat.

Hantar Komen Anda