Kembara Ilmu 7: ‘Menadah’ kitab dan adab dari Mufti Jordan, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha
(Kembara Ilmu 6) Saya ceritakan dalam kembara ilmu lepas tentang suasana pengajian di pondok dan perbezaan pengajian di universiti. Masa lapang banyak di universiti ketika di Jordan. Sebahagiannya diisi dengan aktiviti berjemaah, yang lain mencari sheikh untuk talaqqi. Talaqqi atau menadah kitab adalah istilah yang difahami oleh penuntut ilmu terutama pelajar pondok atau pelajar agama secara umum. Al-marhum Dr Walid al-Aani, pakar hadis dari Iraq pernah menyebut sistem talaqqi adalah sistem asal pengajian Islam dan dari sistem itulah yang memantapkan ilmu sebenarnya. (Beberapa bahan bacaan tambahan: terminologi-ilmu-fiqh , intisari-dan-rahsia-tradisi-ilmu-ilmu-islam-syarahan-di-kdh)Adapun sistem yang dipelajari sekarang-credit hours, subjek terpilih, nota terpilih ditebuk-tebuk…kemudian dapat segulung ijazah dan lain-lain bukanlah sesuatu yang benar-benar mantap melainkan mereka yang belajar itu sendiri mantap atau memantapkan ilmu masing-masing. Demikianlah yang saya lihat pensyarah-pensyarah pengajian Islam di kalangan orang Arab ketika di Jordan. Saya rasa di tanahair pun demikian.
Sebagai selingan, saya pernah hadir sebagai seorang peserta seminar di satu IPT. Salah seorang Dr menyampaikan kertaskerjanya. Ulasan, tulisan dan jawapan, hingga bacaan ayat al-Quran menyebabkan saya terfikir sendirian, inikah hasil akademik dan sebuah kesarjanaan? (full stop)
Alhamdulillah, ketika pencarian sheikh untuk memantapkan ilmu itu, saya diberitahu bahawa mantan Qadhi al-Qudha Jordan ketika itu, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha sudah pulang ke kampungnya di Eidon, kira-kira 2-3 km dari rumah saya di Duwwar Nasim, tidak jauh dari Universiti Yarmouk, Jordan.
Qadhi al-Qudha adalah satu jawatan tinggi agama di Jordan yang sama tarafnya dengan menteri. Sheikh Nuh pernah menjadi mufti al-jaish iaitu mufti angkatan tentera Jordan, di mana angkatan tentera Jordan mempunyai muftinya sendiri. Sheikh Nuh telah mengembangkan institusi agama dalam angkatan tentera Jordan sehingga ramai yang menjadi imam dan pendakwah yang bergiat dalam angkatan tentera Jordan. Beliau bermazhab Shafie dan bermanhaj Ashaairah. (Tiada celanya bermanhaj seperti ini kerana ramai ulama muktabar terdahulu juga demikian). Dalam masa yang sama beliau mempunyai sifat yang terbuka terhadap pandangan lain terutama mazhab Hanafi kerana beliau sendiri pernah belajar sewaktu kecilnya di madrasah di Syria.
Beliau pernah menceritakan kepada saya bahawa berlaku satu peperangan di antara negara Arab dan Israel. Tentera Jordan juga menyertai perang itu. Di satu kawasan perkuburan tentera Jordan yang ingin dipindahkan ke tempat lain, ditemui beberapa mayat yang masih basah dengan darah, sedangkan mayat itu telah dikebumikan beberapa puluh tahun lampau.
Saya mendapat tahu bahawa Sheikh Nuh meletakkan jawatan sebagai Qadhi al-Qudha Jordan kerana tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan Jordan di bawah kepimpinan Raja Husin yang mahu berdamai dengan Israel. Selepas itu beliau menjadi pensyarah di Universiti Yarmouk, Irbid, dan ketika itulah saya mengambil peluang menadah kitab daripadanya.
Dalam satu khutbah Jumaatnya di Masjid Universiti Yarmouk, beliau pernah mengulas tentang perdamaian Jordan dengan Israel, katanya (seingat saya) : ‘Walaupun ular telah berdamai dengan biri-biri, tetapi ular tidak pernah melupakan makanannya yang asal. Justru, biri-biri jangan mudah termakan dengan pujukan dan perdamaian oleh si ular..’
Sheikh Nuh pernah belajar di Syria diperingkat awal pengajiannya. Syria kaya dengan para ulama tersohor sehingga sekarang. Cuma kerajaan yang menganut faham asing itu menyebabkan para ulama agak terkongkong. Sejarah pembunuhan dan penyiksaan ulama terutama di zaman Hafiz al-Asad diketahui umum. Pengajian bertalaqqinya menyebabkan beliau juga bersedia mengongsikan ilmunya dengan pelajar-pelajar Malaysia.
Saya bertemunya, kalau tak silap ingatan saya dalam tahun 1993, memberitahu hasrat pelajar Malaysia terutama yang belajar di Universiti Yarmouk, Irbid untuk mempelajari sesuatu kitab daripadanya. Saya sendiri syorkan kitab syarah Jauharah at-Tauhid iaitu Ittihaf al-Murid karya Sheikh Abdul Salam bin Ibrahim al-Laqaani al-Maliki (dengan ditahqiq oleh Sheikh Muhammad Muhyiddin bin Abdul Hamid dalam kitabnya an-Nizam alFarid) untuk diajarnya. Beliau bersetuju. Pelajar Malaysia di Universiti Yarmouk membuat pengajian itu di rumah yang disewa.
Ia berterusan beberapa lama sehingga pengajian itu tidak dapat diteruskan kerana ada beberapa masalah teknikal kecil berlaku. Saya dan beberapa orang sahabat kemudian menadah kitab syarah Jauharah itu di Masjid Eidon dekat rumahnya. Kami berjalan kaki 2-3 km menuju ke masjid itu. Alhamdulillah, pengajian kitab syarah Jauharah itu selesai.
Saya dari awal merakamkannya dalam kaset. Sheikh Nuh meminta untuk mendengarnya pula. Ketika beliau menjadi duta Jordan ke Iran selama beberapa tahun, rakaman yang saya buat itu didengar balik, ditulis balik, ditambah dan dikurang sehingga diterbitkan dalam bentuk buku yang dikenali sebagai al-Mukhtasar al-Mufid fi syarh Jauharah at-Tauhid. Beliau memberikan senaskhah kepada saya untuk diteliti dari segi bahasa dan kefahaman, adakah mudah difaham oleh orang bukan Arab seperti saya. Kitab tersebut kemudian terkenal dan digunapakai di sesetengah pusat pengajian di IPT dalam dan luarnegara.
Alhamdulillah, saya berharap itu adalah sebahagian sumbangan saya dalam ilmu terutama yang berkait dalam bidang aqidah. Saya juga sedang menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu dan insyaAllah, moga Allah permudahkan.
Menadah kitab dan adab dengan Sheikh Nuh belum selesai.
bersambung….


[...] (Kembara Ilmu 7) [...]
assamualaikum.allah yuftah alaik.blehkah saya dapatkan syarah tauhid tu,sya akan bayar cd atau apa2 yang d perlukan kosnya.jazakallah
nak kitab tu dalam bahasa arab atau terjemahan? Dlm bhs arab boleh saya carikan. Terjemahan masih dlm proses
[...] panas. Sheikh Nuh pernah bertanya kepada doktor tersebut (dalam salah satu kuliahnya dari kitab syarah Jauharah atTauhid) : ‘Kenapa Dr berpuasa pada hari yang sangat panas ini?’ Doktor tersebut menjawab: [...]
subhanallah… saya dok ngaji kitab ni… memang dapat pahala teros mengalir kepada ust…
???? ???? ?? ????
[...] berkahwin dengan wanita Australia. Nuh Haamim Keller barangkali mengambil namanya dari nama Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha. Saya ke rumahnya di Amman sekitar tahun 1992-96. Tidak kenal secara mendalam tetapi baik. Beliau [...]
Assalamualaikum ustaz, ustaz ada tak terjemahan kitab mukhtasir mufid fi syarh jauharah tauhid?
-pelajar ipta-
dalam proses terjemahan. InsyaAllah bila siap saya maklumkan dalam portal ni
Alhamdulillah. syukran ustaz….