Dewan Ulama PAS Pusat Anjur Tamrin Qiadi Ulamak Peringkat Kebangsaan

tamrin qiadi DUPPMachang, 27hb November – Dewan Ulamak PAS Pusat di bawah Lajnah Tarbiahnya menganjurkan Tamrin Qiadi Ulamak Peringkat Kebangsaan. Ianya merupakan program kedua terbesar yang dianjurkan Lajnah Tarbiah DUPP selepas Ijtimak Nuqaba sebelum itu.

Program tamrin ini yang diadakan di MADU Machang telah dihadiri oleh semua perwakilan ulamak dari semua peringkat dewan tersebut di setiap negeri.

Dalam ucapan aluan oleh Ketua Lajnah Tarbiah Dewan Ulamak PAS Pusat, al fadhil Dato Hj Husin Awang  merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Ulamak PAS Kelantan yang menjadi tuan rumah kepada Program Tamrin Qiadi tersebut. Menurut beliau lagi,  objektif utama program ini ialah menghimpunkan seluruh ulamak di seluruh negara untuk menyelaraskan fikrah dan tindakan mereka .

“Ianya penting untuk melahirkan ulamak yang mampu menjadi lidah rasmi kepada jemaah untuk menjelaskan isu-isu yang berkaitan dengan perjuangan PAS” ujar beliau lagi di hadapan perwakilan ulamak yang memenuhi dewan MADU.

Serangan Terhadap PAS Gagal Hakis Gelombang Sokongan Yang Kian Meningkat

Oleh wartawan@dupp

Machang, 28hb November – Perjuangan PAS terus mendapat sambutan yang berterusan sejak mutakhir ini walaupun pelbagai serangan dan ujian terpaksa ditempuhi. Demikian tegas Timbalan Mursyidul Am PAS , Dato Ahmad Yakob kepada para perwakilan ulamak dari seluruh Malaysia yang berkampung di MADU, Machang dalam program Tamrin Qiadi Ulamak semalam.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan turut melahirkan rasa bersyukur dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan terus meningkat kepada kerajaan Kelantan daripada pelbagai pihak terutamanya sokongan daripada para ulamak. PAS Kerajaan Kelantan telah berjaya melaksanakan agenda pentadbiran Islam dengan pencapaian yang sangat memberangsangkan setelah ianya diasaskan pada era al marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ujar beliau lagi,  sebelum ini banyak buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh cendikiawan gerakan Islam dunia yang menceritakan tentang agenda misi perjuangan Islam untuk menegakkan sebuah negara Islam.

Apa yang menarik ialah agenda pentadbiran Islam yang sebelum ini tersimpan dalam khazanah kitab-kitab telah  berjaya direalisasikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim yang ditunjangi oleh PAS. Ujar beliau lagi , PAS juga telah berjaya membuktikan bahawa parti itu telah berjaya menyatukan pelbagai  latarbelakang rakyat Malaysia dibawah wadah perjuangan PAS. Peristiwa 13 Mei membuktikan bahawa PAS telah berjaya mengamalkan politik toleransi yang tinggi dimana negeri yang diperintah oleh PAS berada dalam keadaan aman dan damai.

Menurut beliau lagi , hasil perjuangan dan  prinsip PAS yang tetap dan konsisten di atas landasannya menyebabkan PAS terus mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat. Menurut beliau lagi,  penganjuran Tamrin Qiadi Ulamak dianjurkan pada masa yang tepat kerana ianya merupakan perkara asas yang sangat penting dalam mencapai kemenangan dan melonjakkan lagi sokongan ini.

Kukuhkan Tarbiah Kerana PAS Adalah Mata Rantai Jamaah Islam

Oleh Wartawan@dupp

Machang , 28hb November – PAS merupakan mata rantai kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia yang memperjuangkan Islam dalam kehidupan manusia. Demikian tegas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,  Dato Mahfodz Mohamad di hadapan para perwakilan dewan Ulamak  seluruh Malaysia yang berkampung di MADU,  Machang dalam program Tamrin Qiadi Ulamak Peringkat kebangsaan.

Tamrin Qiadi anjuran Lajnah Tarbiah tersebut berlansung selama dua hari bermula 27hb November dan berakhir pada 28hb November. Dalam ucapan tersebut,  beliau menyifatkan  PAS merupakan satu gerakan Islam yang bergerak seiringan dengan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia dalam menyampaikan mesej Islam.

Beliau juga turut mengingatkan para ulamak tentang peranan penting mereka untuk mentarbiah ummah ini supaya kehidupan mereka terpandu dengan Islam. Ujar beliau lagi,usrah dan muhasabah mestilah dijalankan secara lebih agresif dan serius untuk terus memperkukuhkan perjuangan PAS.

Beliau turut menyeru supaya ahli PAS terutamanya para ulamak terus memperkukuhkan tarbiah untuk terus mempertahankan kerajaan Kelantan daripada sebarang bentuk gangguan dan ancaman.

RESOLUSI TAMRIN QIYADI ULAMA PERINGKAT KEBANGSAAN

Tamrin Qiyadi Ulama Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 15 & 16 Safar 1437 H bersamaan 27 & 28 November, 2015 M bertempat di Markaz Dewan Ulama (MADU) PAS Kelantan dengan ini mengisytiharkan bahawa:

PERTAMA: Beristiqamah dengan Aqidah Perjuangan Islam yang didokong oleh PAS dan mengikuti manhaj tarbiahnya sehingga mencapai kemenangan.

KEDUA: Memberikan kesetiaan (wala’) dan ketaatan kepada kepimpinan Jemaah Islam selama mana tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

KETIGA: Berperanan untuk memperkukuhkan tarbiah di semua peringkat, bagi memastikan kemenangan PAS dalam PRU 14 akan datang.

KEEMPAT: Menghayati Arkanul Bai’ah untuk memastikan kepimpinan ulama memiliki ciri-ciri pendukung Gerakan Islam.

KELIMA: Mendukung Kepimpinan Ulama yang sedang mentadbir kerajaan negeri Kelantan dan bersama mempertahankannya dari sebarang anasir yang cuba untuk menjatuhkannya.

KEENAM: Wajib beramanah dalam perjuangan Islam dan dilarang sama sekali mengkhianatinya.

KETUJUH: Hendaklah yakin bahawa Allah pasti akan memberikan kemenangan kepada mereka yang membantu agamaNya.

KELAPAN: Hendaklah memahami konsep tahaluf siasi yang diputuskan oleh pimpinan dan memahamkannya kepada masyarakat.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

Hantar Komen Anda