Anak PASTI, Ibubapa Tak Pasti

nadhirahAlhamdulillah, sambutan ibubapa terhadap PASTI sangat baik. Saat ini PASTI di seluruh negara sedang sibuk mengadakan majlis ihtifal masing-masing. Melihat kepada anak-anak, dengan pakaian labuh  bertudung nampak cantik dan sangat sopan.

Soalnya ibubapa yang membawa anak-anak itu. Kadang-kadang kelihatan seolah-olah si ibu itu yang akan buat persembahan di pentas. Kalau mahu dibincang isu aurat, konsep tabarruj (perhiasan) barangkali hanya beberapa orang ibu sahaja yang menepati kehendak sebenar Islam. Kalau markah penuh 10 barangkali hanya beberapa orang yang mendapat 8/10. Silap-silap yang gagal pun ramai. Kalau ada ustazah selebriti pun belum tentu lepas lagi.

Nabi SAW sebut tentang perempuan yang ‘kaasiaat aariaat’, berpakaian tetapi bertelanjang yang tidak mudah masuk syurga. Si suami pula yang dayyus juga sukar masuk syurga dengan sebab tidak menunjuk ajar isterinya, sedangkan si anak di pentas penuh bergaya bercerita tentang dosa pahala, syurga neraka.

Ini hanya dari sudut pakaian yang jelas di hari keraian PASTI, belum semak al-Quran ibubapa, ilmu agama dan amalan.

Biarlah pendidikan anak-anak itu kena juga tempiasnya kepada ibubapa. Al Qurannya, adabnya, pakaiannya, ilmunya dan amalannya. “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”.

(Gambar: Nik Naurah Nadhirah sedang membaca surah al-Mulk di hari Ihtifal PASTI)

Hantar Komen Anda