Dato Husin Awang: Nuqaba Ulama Mesti Terus Istiqamah

Ijtimak nuqaba DUPP1Saya menghadiri Ijtimak Nuqaba Peringkat Kebangsaan Dewan Ulama PAS Pusat yang diadakan di Taman Melewar, Gombak pada hari Sabtu 10 Oktober 2015. Perasmian dan Ucaptama disampaikan oleh Dato Hj Husin Awang, Ahli Majlis Syura PAS, AJK DUPP, Ketua Lajnah Tarbiah DUPP dan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu. Saya membuat catatan selari ucapan tersebut. Saya kongsikan dengan saudara:

1. Semua pihak sepakat dan setuju  tentang peranan tarbiah kerana tarbiahlah sebagai medium penting untuk memastikan kelangsungan jemaah.

2. Tarbiah membentuk sikap, akhlak pendokong, membina peribadi peminpin dan ahli. Semua sifat ini menjadi syarat untuk mendapat kemenangan dari Allah.

3. Dalam arus perjuangan yang kita lalui, dalam pasang surut perjuangan, Islam tetap terpelihara sebagai janji Allah. Kemenangan pasti dari Allah. Soalnya bila? Kita serah kepada Allah. Kita wajib percaya dengan janji Allah. Kita juga wajib percaya pertembungan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur akan berterusan. Semua ini menuntut kita terus istiqamah supaya tetap atas dasar, prinsip dan perjuangan.

(gambar: bersama Ustaz Nazri Yusuf, sahabat lama sama-sama belajar di Pondok Tuan Hj Ali Hj Musa, Kg Siliau, NS)

4. Kita mesti terus di atas prinsip perjuangan tanpa berpaling ke arah lain, apatah lagi melompat dari perjuangan.

5. Kita mesti merujuk kepada firman Allah tentang istiqamah:

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” Hud: 112

6. Allah perintah kita supaya sentiasa thabat kerana inilah bantuan paling penting untuk Allah beri kemenangan.

7. Kita jangan ‘liuk lintuk’ tentang kebenaran yang kita bawa.

8. Selepas Allah perintah supaya istiqamah, Allah arahkan supaya jangan cenderung kepada orang zalim.  Ibn Abbas menafsirkan ayat ini dengan: ‘jangan cenderung kepada syirik’.
Ibn Aliah menyebut: ‘jangan redha dengan tindakan mereka.’

9. Untuk istiqamah, kita jangan mudah menuruti amalan orang yang tidak berasas kepada ilmu Islam yang benar.

10. Kita mesti ikhlas kerana Allah, laksana taat kepada Allah berdasarkan kepada apa yang Allah syariatkan.

11. Kita lihat sejarah Nabi Musa ketika berdepan dengan Firaun. Nabi Musa berdepan dengan kekuatan tentera, kemewahan dan kerajaan Firaun. Segala-galanya digunakan oleh Firaun untuk membutakan mata dan hati rakyat.

12. Dari segi zahir sudah tentu dipandang seolah-olah payah untuk menang. Mungkin juga dalam diri Nabi Musa, harapan untuk menang sukar, kerana berdepan dengan segala kehebatan Firaun, lalu Nabi Musa mengadu kepada Allah:

Maksudnya: “Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau berikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” Yunus: 88

13. Dalam ayat ini menunjukkan Firaun menggunakan kekayaan negara untuk menyesatkan rakyat.
Nabi Musa pohon dengan Allah agar Allah membalas kejahatan mereka. Allah menjawab supaya Nabi Musa istiqamah, jangan turut jalan orang yang tidak tahu.

14. Kita yakin dengan janji Allah, kerana kita berjuang atas jalan Allah. Kita tahu janji Allah benar. Jangan turuti jalan orang yang tidak faham.

15. Ingatlah, kita adalah umat terbaik.  Gelaran ini dari Allah. Umat yang terbaik ini disebut dalam ayat alQuran sebagai ‘ukhrijat’  iaitu dikeluarkan, ertinya ada proses yang berlaku.
Umat yang terbaik ialah umat yang melalui proses tarbiah sebagaimana Nabi memproses para sahabat sehingga berubah menjadi generasi terbaik, yang sebelumnya berada dalam jahiliah.

16. Dalam ayat lain, Allah sebut tentang keadaan umat yang diproses:

Maksudnya: “Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” Al Anfal: 74

Syarat umat yang diproses:
~Iman-esakan Allah, abdikan kepada Allah
~Hijrah-dengan erti buang segala fahaman karut dan pendirian yang lalu yang bercanggah dengan prinsip jemaah yang disertai sekarang. Bila sudah berada dalam jemaah ini, kena buang segala bentuk jahiliah.
~Jihad-Ertinya bawa risalah, bawa mesej perjuangan, ada destinasi, matlamat dan prinsip
Mesej jihad yang kita bawa jelas:
Supaya kalimah Allah itulah paling tinggi.

17. Umat Islam yang mahu mengangkat martabat umat, mesti ada satu risalah, mesej yang jelas. Kalau kita tiada risalah, tiada mesej, kita akan mudah terikut dengan orang lain sehingga ke peringkat menggadaikan prinsip hidup dan perjuangan.

18. Sejarah dalam PAS, khilaf yang berlaku dalam tahun 1980, sehingga lahir Parti Hamim, Berjasa. Apa risalah yang dibawa? Mereka ditolak kerana tiada mesej/risalah yang dibawa.

19. Mesej, risalah, matlamat kita jelas, justeru kita mesti Istiqamah. Dasar kita ialah dasar yang dilindungi oleh Allah kerana yang kita bawa ialah Islam.

Catatan:
Ust Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek
Timbalan 1 Jabatan Perhubungan Awam, IT & Media Baharu DUPP.
Ketua Lajnah Media Baharu DUPNT
TYDP PAS Kemaman

10 Okt 2015
10 pagi.

 

Hantar Komen Anda