Kembara Ilmu 6: Pelbagai Aliran di Jordan

pelbagai aliranKetika belajar di bumi Jordan, saya terdedah kepada pelbagai aliran. Aliran pemikiran, mazhab dan jemaah. Untuk jemaah, sebenarnya sudah terdedah kepada pelbagai kumpulan dakwah itu seawal 1980 di tingkatan 1 Sekolah Alam Shah, KL. Kami diperkenalkan dengan usrah umum. Tapi yang lebih khusus ialah usrah PAS. IRC ada juga cuba memikat. Tabligh pun ada. Ia berterusan sehingga ke UKM. Saya istiqamah dengan PAS. Pun baik dengan sahabat-sahabat dari jemaah lain. Untuk ilmu, sewaktu di pondok, ia tidak ketara. Aliran mainstream yang diwarisi dari jalan ulama terdahulu mewarnai suasana pembelajaran.

Di Jordan, saya terus istiqamah dengan PAS. Pada tahun 1992 dan beberapa tahun selepasnya, pimpinan bersilih ganti dari Ust Zul, Ust Yi dan lain-lain (tanpa menyebut nama sebenar). Dr Asri ketika itu masih bersama PAS, sebahagian daripada kepimpinan.

Saya masih ingat ketika berlaku mesyuarat agung Persatuan Mahasiswa Jordan yang saya menjadi pengerusi mesyuaratnya, golongan pelajar ‘liberal’ mengganggu perjalanan mesyuarat. Di antara yang membantu backup ketika itu dari atas pentas ialah Asri. Beliau seorang yang suka berdebat terutama dengan pelajar al-Arqam atau IRC. Ada isu yang berlaku dalam jemaah sehingga menyebabkan ia menjauhkan diri. Saya tak pasti isunya kerana beliau tinggal di Amman dan saya di Irbid. Tanyalah kepadanya atau bekas kepimpinan pelajar Jordan 1992-1996 yang masih ada di tanahair sekarang. (full stop).

Beliau juga punya manhaj yang dimaklumi, hingga sekarang. Saya tak ada masalah peribadi dengannya tetapi saya tak sependapat dengannya dalam beberapa perkara. (full stop).

ust nik nasri dan nik zawawi di JordanUstaz Nik Zawawi datang kemudian dari Mesir, menyambung pengajian Masternya di Jordan. Alhamdulillah, beliau terus istiqamah dengan jemaah hingga sekarang. Saya ada beberapa persamaan dengannya. Nama sama-sama Nik, cuma saya Nik keturunan Raja Pattani kalah perang lari ke Besut zaman lampau, beliau saya tak pasti, sama-sama berjambang, cuma saya nipis dan jambangnya tebal, umur sama, saya beberapa bulan lebih tua, sama-sama tinggal di Terengganu, cuma beliau di hujung sempadan utara Terengganu di Besut dan saya di hujung sempadan selatan di Kemaman, sama-sama lepasan Master Jordan, cuma beliau dalam pendidikan/Tarbiyyah dan saya Syariah-Fiqh.

Saya sempat juga bertemu dengan Ustaz Nasarudin Hasan. Saya kenal beliau ketika di pondok. Di Jordan saya tak pasti atas urusan apa beliau berada di Jordan ketika itu, samada beliau sedang belajar di Syria atau belum.tarik tali Beliau pernah memberikan pengisian untuk program tamrin pelajar ketika di Jordan.

(Gambar: tarik tali di pantai Aqabah 1992 @ 1993, Jordan. Saya paling kanan, diikuti Ustaz Khairudin Aman Razali, belakang sekali Ustaz Azhar Yaakob. Berdiri berserban Ustaz Nasarudin Hasan)

Pengajian di Universiti Yarmouk, Irbid seperti di universiti lain memperlihatkan kepelbagaian aliran. Asyairah/Maturidiah dan Salafi/Wahhabi dalam aqidah, Shafie dan 3 lagi mazhab besar termasuk pandangan-pandangan yang luar dari mazhab yang empat dalam fiqh dan lain-lain. Ia bergantung kepada pensyarah.

Saya terdedah kepada semua aliran kerana kebetulan subjek yang diambil itu diajar oleh pensyarah berbeza. Ya, terdedah tetapi tidak bermakna terus terpengaruh. Saya meyakini manhaj yang sudah dilalui. Cuma ia mendedahkan kepada keluasan ilmu dan kajian-kajian baru terutama dalam bidang fiqh. Saya tidak taksub bermazhab, tetapi saya selesa bermazhab Shafie dan bersedia menerima pandangan mazhab lain dalam isu-isu tertentu. Saya memahami kenapa mazhab Shafie tersebar luas dan dianut majoriti ulama terdahulu selepas belajar tentang tokoh: Imam Shafie sendiri dari Mufti Jordan Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha berdasarkan buku Sheikh Muhammad Abu Zuhrah dengan menelusuri metodologi Imam Shafie dalam membina hukum.

Apa yang saya bimbangi ialah pelajar-pelajar muda dari Malaysia datang dalam keadaan ‘fresh’ dan kosong sehingga mudah terpengaruh dengan aliran yang agak jauh dari yang ditunjuk oleh ulama-ulama muktabar terdahulu.

Banyak lagi yang ingin dikongsi. Bersambung….

Komen (3)

  1. [...] (Kembara Ilmu 6) Saya ceritakan dalam kembara ilmu lepas tentang suasana pengajian di pondok dan perbezaan pengajian di universiti. Masa lapang banyak di universiti ketika di Jordan. Sebahagiannya diisi dengan aktiviti berjemaah, yang lain mencari sheikh untuk talaqqi. Talaqqi atau menadah kitab adalah istilah yang difahami oleh penuntut ilmu terutama pelajar pondok atau pelajar agama secara umum. Al-marhum Dr Walid al-Aani, pakar hadis dari Iraq pernah menyebut sistem talaqqi adalah sistem asal pengajian Islam dan dari sistem itulah yang memantapkan ilmu sebenarnya. Adapun sistem yang dipelajari sekarang-credit hours, subjek terpilih, nota terpilih ditebuk-tebuk…kemudian dapat segulung ijazah dan lain-lain bukanlah sesuatu yang benar-benar mantap melainkan mereka yang belajar itu sendiri mantap atau memantapkan ilmu masing-masing. Demikianlah yang saya lihat pensyarah-pensyarah pengajian Islam di kalangan orang Arab ketika di Jordan. Saya rasa di tanahair pun demikian. [...]

  2. umar says:

    ustaz, ana harap ana tidak tergolong dalam golongan yang ustaz sebutkan dalam perenggan terakhir artikel ini.

  3. arif says:

    assalamualaikum üst..
    sy dri kelntan..sy berhajat nk hntar anak sy ke jordan utk menimba ilmu diniah..bagaimana cara atau ust boleh syorkan pd sy siapa2 yg tahu cara utk kemasukkan pelajar diniah berumur 14thn..ank sy baru tamat hafal quran 2018.

Hantar Komen Anda