Bimbangkah UMNO/BN dengan Konvensyen pertama PR?

Konvensyen PR Saya menekuni hampir semua ucapan-dari pembukaan awal pagi hingga penutup sebelah petang Konvensyen pertama Pakatan Rakyat melalui tvselangor.com. Keseluruhan ucapan punya satu nada-harapan, keyakinan dan kesungguhan. Seakan-akan esok sudah bersedia ke Putrajaya.  Saya tertarik dengan ucapan Lim Guan Eng yang menyelitkan pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. PAS dakwahkan DAP kenal Islam. UMNO dakyahkan MCA/MIC buta Islam. Amar makruf nahi mungkar diulang. Sekali lagi saya mengajak Lim Guan Eng masuk Islam.

Satu pemandangan yang baru juga apabila Karpal Singh boleh duduk di celah antara 2 tok guru. Dalam sejarah Islam, Umar al-Khattab yang kuat jahiliahnya boleh terima Islam, walaupun ia keluar rumah menghunus pedang mahu membunuh Nabi. Mustahilkah Karpal boleh berlembut tentang Islam? Tok Guru Nik Aziz sebut ‘bulan di dada Karpal’. Moga ucapan itu bukan secara spontan tetapi ajakan secara halus untuk Karpal kenali Islam, seperti pemimpin DAP yang lain juga.

Imam al-Ghazali sebut-kita perlu anggap diri orang lain lebih baik dari kita termasuk orang kafir. Bagaimana? Mungkin mereka mengucap 2 kalimah syahadah di akhir umur, sedangkan kita belum tentu mati husnulkhatimah (Moga Allah menjaga iman kita sehingga ke akhirnya)

Pimpinan PAS tetap bertegas dengan prinsip Islam walaupun mungkin dalam dunia politik baru Malaysia cukup mencabar. Dakwah dan siasah memasuki fasa yang perlukan hikmah tinggi daripada pimpinan.

Ucapan pembukaan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim Keyakinan kepada rakyat, YB Lim Guan Eng Anak Malaysia milik semua dan YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang Memperkukuh Pakatan Rakyat adalah ucapan-ucapan bersejarah dalam politik baru Malaysia. Demikian juga dalam ucapan perbahasan.

Selepas mengikuti Konvensyen, saya terfikir apa agaknya respon UMNO/BN terhadap Konvensyen ini. Takut, gementar, risau atau buat tak tahu, tak ambil pusing?

Sehingga artikel ini ditulis malam tamatnya Konvensyen pertama PR ini, masih tiada apa-apa komen dari media arus perdana atau pemimpin BN. Saya tak tahu besok macamana. Tetapi kejayaan konvensyen ini tentu akan membuatkan BN tak senang duduk. BN tentu berfikir untuk terus mengekalkan kuasa, sehingga PRU13 dan selepasnya. Masalah yang melanda parti-parti komponen BN mungkin merencatkan usaha mereka mengekang PR, tetapi kuasa dan cengkaman mereka ke atas institusi-institusi penting-kehakiman, polis, SPR dll masih kuat.

Kesungguhan pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan berhasil jika rakyat yang menjadi penentu kerajaan tidak memberikan sokongan. Soalnya di mana perginya sebahagian rakyat dalam perkara ini?

Komen (1)

  1. [...] PAS dakwahkan Islam kepada DAP, UMNO dakyahkan Islam kepada MCA seperti tulisan saya malam tamatnya Konvensyen pertama PR. Lim Guan Eng boleh sebut Amar makruf Nahi Mungkar, Nga Kor Ming boleh biasa dengan salam. Karpal [...]

Hantar Komen Anda