Imam Nawawi: haloba ilmu, ahli tasauf hebat, penegur pemerintah

pokok besar atas maqam imam nawawiApabila saya menyelesaikan kuliah berkenaan pengarang RiadhusSalihin, iaitu Imam an-Nawawi, saya dapat merasakan kehebatan beliau dalam pelbagai aspek. Melalui kitab al-Minhaj as-Sawiy li-Tarjamah an-Nawawiy karangan Jalaluddin as-Suyuti, saya menelusuri sirah ‘ulama muda’ ini. Imam Nawawi telah menunjukkan sifat istimewa ketika masih kecil. Seorang guru tasauf ketika itu membuat telahan bahawa anak kecil ini akan menjadi pemimpin hebat di masa akan datang. Ia benar seperti yang dikata, bukan hasil dari tilikan tetapi firasat orang mukmin.

(Gambar: Ziarah Syria 1993-Pokok besar di atas maqam Imam Nawawi)

Imam Nawawi belajar ketika usianya agak lewat, iaitu 19 tahun. Namun kecekalan, ketabahan dan kesungguhan luarbiasa menuntut ilmu menjadikan gurunya kagum dan sayang kepadanya. ‘2 tahun aku belajar, rusukku tidak pernah jatuh ke bumi…’. Beliau belajar dari pagi , petang sehingga malam. Beliau belajar 12 subjek sehari dalam pelbagai disiplin ilmu dengan ramai guru. Kebetulan ramai ulama masyhur di zamannya.

Masa Imam Nawawi banyak dihabiskan samada untuk belajar, mengarang, menulis, memberi komentar, menghurai atau beribadat di tengah malam. Tiada masa berkaraoke, tiada masa menonton tv, tiada masa berpesta, tiada masa untuk segala aktiviti dunia, bahkan untuk anak isteri kerana beliau tidak berkahwin. Seorang sahabatnya pernah ‘putus asa’ untuk menurut Imam Nawawi dari segi disiplinnya belajar dan ‘bertasauf’. Beliau hanya makan sekali selepas Isyak dan minum di waktu dinihari. Badannya menjadi ‘kering’ disebabkan cara hidupnya seperti itu. Halobanya kepada ilmu mengatasi yang lain. Justru, tidak pelik, dalam jangka waktu sekitar 6 tahun sahaja belajar Imam Nawawi sudah menguasai pelbagai disiplin ilmu.

Imam Nawawi terkenal dengan sifat zuhudnya. Ia tidak berbicara tentang zuhud, tidak pula menentang ahli tasauf tetapi beliau mempraktikkan zuhud dan tasauf. Makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kehidupannya mungkin begitu rigid dan sangat tidak selesa bagi sesetengah orang, tetapi itulah jihad bagi seorang bernama Imam Nawawi. Banyak perkara karamah berlaku dalam hidupnya. Muridnya yang terkenal, Ibn al-Attar menyebut beberapa kisah ‘pelik’ bersama Imam Nawawi. Katanya: ‘Saya pernah bersama guru saya itu dan kalau mahu ditulis pengalaman itu, ia akan memakan berjilid-jilid buku.’

Imam Nawawi juga seorang yang berprinsip yang sangat tegas dengan hukum syarak. Ketika Raja az-Zahir ingin mengenakan cukai ke atas rakyat bagi membiayai jihad, Imam Nawawi adalah antara beberapa orang ulama di zaman itu yang tidak bersetuju dan ‘tidak menandatangani surat sokongan’ itu. Bahkan, beliau menulis surat kepada gabenor Raja az-Zahir supaya menyampaikan satu surat/memorandum kepada Raja az-Zahir. Demikian juga apabila penguasa mengambil tindakan memagari kawasan tanah yang menjadi hakmilik dan telah diusahakan oleh penduduk Damsyiq. Beliau juga menulsi satu surat kepada pemerintah menasihatkannya supaya berlaku adil.

Demikianlah kisah Imam Nawawi yang hebat. Maka tidak pelik apabila karyanya seperti kitab RiadhusSalihin dibaca dan diterjemah. Kitabnya al-Majmuk yang tidak selesai dikarang itu dibantu untuk diselesaikan oleh as-Subki dan kemudiannya oleh ulama-ulama lain. Kitabnya Hadis 40 menjadi kitab teks yang dibaca di surau dan masjid. Begitu juga karya-karyanya yang lain.

Bahkan tidak pelik juga apabila maqamnya di kampungnya sendiri iaitu ‘Nawa’ ditumbuhi sebatang pokok besar beberapa pemeluk. Ketika saya menziarahi maqamnya sekitar tahun 1996 sewaktu belajar di Jordan dan lawatan ke Syria, kami diberitahu bahawa pada daun dan dahan pokok itu dikatakan tertulis kalimah-kalimah Tauhid. Bimbangkan khurafat berlaku, dahan-dahannya dipotong. Kalimah-kalimah Tauhid itu tertulis pula pada batang pokok itu. Ia sukar dibuang kerana pokoknya yang cukup besar itu.pokok besar atas maqam imam nawawi1

Yang penting ialah Imam Nawawi telah menjaga agama Allah ketika beliau hidup di atas bumi, maka Allah menjaganya pula selepas matinya di dalam bumi.

(Kuliah tentang biografi Imam Nawawi termasuk huraian surat yang ditulis kepada Raja az-Zahir boleh diikuti di bahagian koleksi ceramah audio video)

Komen (2)

  1. [...] juga menziarahi maqam-maqam penting sekitar Damsyiq termasuk Imam Nawawi di Nawa, Busra yang dikatakan tempat Nabi datang berniaga dan duduk di bawah sepohon pokok sehingga [...]

  2. firman syah kelantany says:

    sye pun trgagum dgan imam nawawi yg mnkin jrang prmuda prmudu msa msa kni yg mmpunyai smngat dn cra dia dalam menuntut ilmu smoga allah slalu mrahmati beliau di alam barzakh

Hantar Komen Anda