Ucapan Presiden PAS Dalam Liqa Fikri 13 Dis 2014

liqa fikriSaya menghadiri Liqa Fikri anjuran Lajnah Tarbiah PAS Pusat di Stadium Tertutup MPSJ, Seri Kembangan pada 13 Dis 2014 baru-baru ini. Saya mencatat secara selari ucapan Presiden PAS dalam program tersebut. Di bawah adalah point yang sempat saya catat. Saya kongsikan dengan para pelayar portal saya. (Saya sertakan juga artikel penuh dari harakahdaily ucapan tersebut) :

Umno sepatutnya laksanakan amanah  selepas merdeka tapi tak berlaku.
Islam dlm perlembagaan Malaysia mesti diperluas.
Islam mesti ditafsirkan sebagai addin yg lengkap

Dlm Piagam Madinah diperuntukkan alQuran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi.
Boleh pinda perlembagaan negara dgn letak alQuran, Sunnah sebagai hukum yg tertinggi.
Ini berbeza dgn konsep wilayatulfaqih, syiah
Kpd mereka yg baru tumbuh tanduk, gatal tanduk, nak sondol sana sini, jgn gopoh sgt nnti patah tanduk
Islam lebih awal sebenarnya dari Barat memahami konsep demokrasi.
Islam menentang dictatorship, beri hak kpd rakyat beri pandangan.
Sejarah wafat Nabi dgn urusan pemilihan khalifah sebagai cth.
Demokrasi paling dekat dgn Islam tetapi jgn bercanggah dgn syarak

Isu msyrkt majmuk-islam iktiraf perkara ini. Dlm sejarah tamadun Islam, keadilan Islam dpt disaksikan terhadap bukan Islam.


Antara btk2 kerjasama dgn bukan Islam:
Tahaluf-persefahaman dgn bukan Islam dlm perkara yg dipersetujui
Zimmah-bukan.Islam yg bersedia tinggal dlm neg islam
Muahadah-neg bukan Islam berjanji dgn neg Islam
Sulh-damai dgn bukan islam
Muwadaah-gencatan senjata
Himayah-perlindungan/suaka politik
Taawun-bertolongan dlm perkara baik
Istianah-minta tlg bukan islam utk lwn.musuh

Sistem beraja: PAS mahu sistem.ini dipelihara dgn syariat. Umno x jaga perkara ini.
Byk ruang yg boleh kita manfaatkan
Pemerintahan secara wilayah spt yg disebut oleh almawardi-autonomi
Satu kisah: bila Nabi wafat, ramai yg murtad. Madinah ada Abu Bakar jaga, Yaman ada Abu Musa al-Alashaari jaga dan gabenor-gabenor di tempat lain.
Mekah ada gabenor Usaid bin Hudir, tetapi masih muda. Suhail berucap: ‘wahai penduduk Mekah! jgn murtad. Istiqamah.’ Ucapan ini antara yg membantu dari org islam jadi murtad.
Apa yg jadi masalah ialah apabila ada yg melihat hanya Tahaluf shj sebagai alat utk berurusan dgn kelompok lain, sedangkan byk lagi medium.lain.

Antara soalan:

Konsep taat ulil amr-taat Allah, Rasul mutlak. Taat kpd pemimpin dlm perkara x maksiat, perkara yg telah diputuskan jgn dicanggah.

Tahaluf siyasi, Konsep wala’
Hubungan kita dgn pemimpin mukmin sampai akhirat, hbgn kita dgn org lain ada maslahah, jgn gadaikan hbgn akhrt atasi hbgn ada maslahah. Kdg2 kamu syg mrk tapi mrk x syg kamu.
Tahaluf jadi ujian kpd wala, mesti wala atasi Tahaluf. Jgn ada yg hanyut.

Gangguan istiqamah dlm.perjlnn-antaranya dari dalam-mahukan Islam tapi jahil, nak Islam tapi melampaui.
Mesti bersama dgn gerakan Islam awal.

Perang itu tipudaya-hadis. Tapi ada batas iaitu jgn melampau. Kptsn ambil strategi mesti dgn kptsn pimpinan, jgn buat kptsn sndiri.

Isu hadir progrm trbiah tapi x bergaul dgn.msyrkt-kena faham

Penyakit cirit birit maklumat, kena atasi.

Hubungan dgn PR-hukum syarak, strategi politik. Hukum syarak serah kpd Mjls syura ulama, strategi politik serah kpd ajk Pusat.
Ikut perlembagaan PAS, MSU boleh batalkan kptsn ajk pusat yg bercanggah dgn syarak. Ada juga kptsn MSU yg tak senestinya terus dilaksanakan oleh JK Pusat, cth keahlian bukan Islam. Ikut situasi politik.

Pngjrn krisis politik Asia Barat-kekuatan strategi PAS, gerakan akar umbi rakyat.

Pandangan DSTG: keadaan dlm negeri sendiri berbeza dgn musuh dtg luar. Oleh itulah PAS pilih muwajahah silmiyyah.

DSTG: saya kaji IS ada 3 glgn- intelegen cia, mereka yg x blh blk slps Afghanistan, mrk yg semangat tinggi tanpa asas kukuh.
Kita kena ingat nak bina rumah kena ada asas dahulu.
Di negara Arab, perang byk berlaku fitnah, celaru

Peristiwa yg sedang berlaku di dunia islam sekarang seolah-olah seorang ibu yg sakit sarat mengandung akan melahirkan anak, ( ibu itu dunia, anak itu adalah Islam)

Kesimpulan: Kita kena yakin dgn perjuangan kita dan.ia adalah kesinambungan dari perjuangan Nabi. Jemaah ini yg asal dan benar.
Ummah iitiba’ (menuruti Nabi) mesti diwujudkan dlm jemaah ini.

Catatan:
Ustaz Nik Muhammad Nasri
TYDP PAS Kemaman,
Ketua Ljnh Tarbiah PAS Kemaman
13 Dis 2014
12.55 tghri

Islam dalam konteks demokrasi dan beraja

IZWAN ABDUL HALIM | .

 SERDANG: Sungguhpun sistem demokrasi moden hari ini adalah daripada Tamadun Barat, tetapi hakikatnya ia banyak dipengaruhi oleh sumber-sumber Islam. Malah, ruang demokrasi perlu dijadikan ruang dan kesempatan untuk meluaskan dakwah kerana cirinya yang paling munasabah dengan Islam. Begitu juga konsep Raja Berpelembagaan, ia diterima oleh Islam selagi mana menunaikan amanah dan keadilan serta tidak melanggar batas Islam.

Demikian intipati yang disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Liqa’ Fikri PAS Pusat bertemakan “Perjuangan Islam Dalam Negara Demokrasi: Harapan dan Cabaran” di Seri Kembangan, di sini 13 Disember lalu.

Terang beliau, hubungan Barat dengan orang Islam terjadi pada urusan perdagangan, semasa Perang Salib dan juga daripada penjajahan oleh Barat, yakni mereka bukan sahaja bercampur dengan orang Islam, bahkan turut mengambil kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama Islam.

“Dalam aspek demokrasi, Barat hanya mengenal demokrasi purba yang diamalkan di Athens sebelum Masihi. (Mereka) mengumpulkan orang ramai di stadium untuk diadakan pungutan suara. Yang dikumpulkan itu tidak termasuk hamba abdi, orang miskin, wanita. Hanya (melibatkan) kalangan bangsawan sahaja.

“Mereka tidak tahu hendak merealisasikan demokrasi dalam pemerintahan melainkan setelah mereka mengkaji kitab-kitab fekah Islam. Sebelumnya, apabila mereka hendak buat perubahan (kepemimpinan) mereka lancarkan revolusi,” ujarnya menerangkan revolusi yang berlaku di England, Perancis, Russia dan Amerika.

Malah katanya, tindakan tidak puas hati kepada kerajaan telah membangkitkan kerahan rakyat untuk mengangkat senjata, membunuh raja-raja dan para pendokongnya serta pelbagai dendam dan penggulingan kuasa atas nama perubahan.

Hinggalah katanya, mereka mengkaji kitab-kitab fekah Islam diantaranya mempelajari bahawa Islam menentang diktator dan teokrasi dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada makhluk, selain Islam mengecam raja zalim yang berlagak jadi tuhan sepertimana Namrud dan Firaun.

Mereka juga terangnya, mempelajari bahawa Islam memberi hak kepada rakyat dan rakyat berhak memberi nasihat kepada pemimpin, berhak membela diri serta mengambil hak-hak dalam kehidupan, ekonomi, pendidikan dan aspek lain-lain lagi.

Malah menurut Tuan Guru, Barat telah mengambil pendekatan Rasulullah dan para Sahabat dalam melantik Khalifah sebagai rujukan kepada demokrasi hari ini.

“Apabila orang Barat mengkaji kitab fekah, maka terciptalah demokrasi moden yang ada pada hari ini melalui pilihan raya dengan memilih wakil rakyat yang disebut dalam kitab sebagai ahlul halli wal adli, iaitu orang yang boleh menyelesaikan dan menghurai masalah. Ini pembaharuan dalam demokrasi.

“Kita perlu menyedari bahawa demokrasi adalah teori paling dekat dengan Islam, tetapi kita tidak boleh hanyut. Demokrasi tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Tidak boleh diputus di parlimen; siapa setuju judi halal, siapa setuju arak halal. (Kalau) majoriti setuju (maka) jadi halal, ini tidak boleh! Hukum Allah tidak boleh ganggu. Ini kita kena faham batas sempadan kita dalam pemerintahan negara.

“Sebab itu tidak menjadi masalah kepada kita (PAS) dengan (menerima) konsep demokrasi. Demokrasi pula memberi hak kebebasan bersuara, ini kebebasan dakwah. Hak untuk berdakwah, hak untuk mendidik, hak menyebarkan fikiran ini ialah pendekatan yang paling munasabah dengan Islam. Dengan sebab itulah ulama kita mengambil (menerima) pendekatan demokrasi,” hurai beliau memahamkan.

Menyentuh mengenai konsep Raja Berperlembagaan katanya, Quran menyebut Nabi Daud sebagai Khalifah, manakala Nabi Sulaiman, Zulkarnain, Firaun dan Namrud sebagai Raja.

Tetapi jelasnya, Allah memberi penekanan utama adalah mengenai penunaian amanah dan adil.

“Sama ada (dipanggil) Raja, Khalifah atau Presiden, (itu) mengikut perkembangan tertentu. Yang penting konsep Raja Berpelembagaan ini dipelihara dengan batas Islam. Tetapi Umno, dia tak pelihara dengan batas Islam,” terangnya.

Beliau kemudian menghurai hadis Nabi SAW mengenai kehendak Allah apabila mahukan kebaikan kepada seorang raja, maka dikurniakan wazir yang baik. Sekiranya raja lupa, diperingatkan oleh nazir itu dan dalam urusannya, raja sentiasa dibantu.

Tetapi sekiranya Allah tetapkan keburukan seorang raja, akan bersamanya wazir yang jahat. Apaila raja itu lupa akan dibiarkannya dan ketika raja itu hendak melakukan kebaikan, tidak dibantunya.

“Konsep beraja tidak masalah pada kita (PAS). Yang penting kita sediakan ahli mesyuarat, penasihat yang baik, bukan penasihat untuk kepentingan kita. Di sinilah ruang banyak yang boleh kita laksana jadikan perjalanan dalam negara kita sebagai satu jalan yang perlu kita bijak sepenuhnya walaupun masih banyak cabaran, masih banyak kelemahan yang kita boleh baiki,” ujarnya meyakini keadaan itu.

Selain itu terangnya, Islam turut mengakui sistem wilayah di mana di zaman Nabi SAW telah diutuskan para Sahabat tertentu untuk menjadi Gabenor di wilayah pemerintahan Islam dan diberi autonomi kecuali dalam hal yang besar perlu dirujuk pemerintahan pusat iaitu Madinah.

Begitu juga jelasnya mengenai kehakiman dan pegawai jentera pentadbiran kerajaan, di mana segala yang tidak selaras dengan roh Islam akan dikeluarkan ketika Islam mengambil alih kerajaan dan mementingkan individu-individu beriman.

PAS Tidak Sama Dengan Wilayatul Faqeh

Tuan Guru menegaskan bahawa Perlembagaan PAS tidak sama dengan Wilayatul Faqeh dalam Mazhab Syiah yang menjadi Perlembagaan kepada negara Iran.

Untuk itu serunya, orang yang menyamakan PAS dengan konsep tersebut perlu mendalami perbezaan sumber hukum Mazhab Sunni pegangan PAS berbanding sumber hukum konsep Wilayatul Faqeh dalam Mazhab Syiah.

“Kita catat dalam Perlembagaan PAS hukum tertinggi adalah al-Quran, Hadis, qiyas dan ijmak ulama. Dan bagi memelihara keteguhan perlembagaan ini, ditubuhkan Majlis Syura Ulama supaya semua perkara yang diputuskan PAS tidak bercanggah dengan hukum tertinggi (tersebut).

“Konsep ini tidak sama dengan Wilayatul Faqeh. Ada orang nak samakan kita dengan Wilayatul Faqeh. Ia pandangan Mazhab Syiah dan hukum tertinggi dalam Mazhab Syiah ialah al-Quran, Hadis dan pandangan Imam Ahli Bayt. Qiyas tidak ada, ijmak tidak ada, mereka menolak. Ini beza Perlembagaan PAS dengan perlembagaan negara Iran (iaitu) Wilayatul Faqeh.

“Perlu diketahui bahawa di sana ada konsep yang sama, ada konsep berbeza. Ada perkara yang sama antara kita dengan mazhab-mazhab lain, ada perkara yang berbeza. Dalam hal ini ada perkara yang perlu kita mengambil pengajaran, ada perkara yang perlu kita tolak. Di sana ada asas yang kukuh yang kita menolak fahaman-fahaman lain. Yang dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah al-Quran, Hadis, qiyas dan ijmak ulama,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS membebaskan diri daripada belengu penjajah yang telahpun meninggalkan Tanah Melayu dengan mengorak langkah sebagai sebuah Parti Islam iaitu meletakkan sumber hukum Islam sebagai rujukan tertinggi dalam Perlembagaan PAS.

Jasa PAS Letak Islam Dalam Perlembagaan Negara

PAS dan badan-badan Islam yang bersamanya ketika berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu telah berperanan mendesak Suruhanjaya Reid untuk meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ujar Tuan Guru, kajian ahli sejarah mendapati Suruhanjaya Reid tidak memasukkan kedudukan Islam ketika mengadakan draf kerangka awal Perlembagaan Tanah Melayu.

Bagaimanapun katanya, daripada usaha PAS dan badan-badan Islam lain akhirnya berjaya meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan setelah Suruhanjaya Reid didesak untuk akur kepada Perjanjian Pangkor dan beberapa perjanjian lain yang pernah dimeterai British iaitu memberi hak bidang agama Islam kepada Raja-raja Melayu.

Pun begitu jelas Tuan Guru, Islam dalam Perlembagaan itu menurut penafsiran suruhanjaya tersebut adalah ‘agama’ di mana memiliki bidang kuasa yang terhad.

“Apabila kita telah capai kemerdekaan, sepatutnya kita bukan sahaja merdeka dari segi orang putih (British) balik ke negeri mereka. Sepatutnya kita merdeka juga dari segi fikiran dan diri kita daripada belengu kefahaman penjajahan. Adalah tanggung jawab kita mentafsir Islam dalam perlembagaan itu dengan ‘ad-din’ (cara hidup) kalau kita sungguh merdeka.

“Malangnya Umno yang menjadi tulang belakang pemerintahan negara khianat terhadap amanah Islam ini. Mereka lupa betapa negara dalam ajaran Islam adalah amanah yang sangat besar. Umno tidak tunai amanah ini walaupun penjajah sudah keluar dari tanah air kita,” ujarnya.

Jelas Tuan Guru, perlembagaan negara haruslah mengambil panduan sebagaimana dilakukan Nabi SAW melalui Sahifah Madinah yang melibatkan perjanjian dengan semua pihak dalam negara serta menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar rujukannya.

Malah menurut beliau, ramai pakar undang-undang antaranya Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim pernah menyatakan bahawa, Perlembagaan Malaysia sebenarnya mudah diubah kepada acuan Islam iaitu peruntukan dalam perlembagaan boleh dipinda dengan membatalkan peraturan yang bercanggah dengan Islam sekali gus meletakkan Islam sebagai hukum tertinggi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa soal kenegaraan atau politik yang juga disebut ‘daulah’ itu adalah sebahagian ajaran Islam; iaitu pemisahannya daripada agama adalah satu penyelewengan dan kesesatan seperti pernah terjadi kepada masyarakat Kristian di Barat meninggalkan ajaran Taurat dan Injil.

Jelasnya juga, dalam membicarakan soal demokrasi, Islam tidak boleh ditakrifkan sebagai agama atau perkataan seertinya.

“Islam adalah ajaran yang menyeluruh merangkumi segala aspek fitrah manusia dalam hubungan dengan Allah, dirinya, masyarakat sesama manusia dan dengan makhluk lain dicipta Allah SWT, mengikut bidang dan ruang yang mesti dilaksanakan oleh manusia yang merupakan satu dari makhluk Allah.

“Sepertimana matahari, bulan dan bintang-bintang cakerawala di langit tidak boleh terkeluar daripada sempadan kukuh ditetap Allah, begitulah makhluk lain mestilah mengikut peraturan Allah secara Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah dan khusus bagi manusia melakukan ibadah, berkhilafah dan beramanah.

“Melakukan menyembah Allah tunduk kepada peraturan Allah secara ‘ubudiyah’, secara hamba, bukan sebagai rakyat terhadap kerajaan. Melaksanakan kewajipan memakmurkan bumi dan melaksanakan syariat Allah sebagai satu amanah sangat besar,” ujarnya memperinci penerangan.

Masyarakat Majmuk Bukan Halangan Menegakkan Islam

Masyarakat majmuk hakikatnya adalah tabii kepada mesej Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW kerana Allah SWT mengutuskan Islam bukan hanya untuk bangsa tertentu sahaja, tetapi untuk seluruh manusia dan dunia ini.

“Ini mesej Nabi SAW. Kerana itulah ketika Nabi menegakkan negara di Madinah, Nabi mengambil berbagai kaum walaupun secara simbolik tidak ramai seperti Bilal al-Habsyi, Shuib ar-Rumi, Salman al-Farisi. Digabungkan dalam masyarakat Islam walaupun seorang, tetapi simbol ini jadi kenyataan,” ujarnya.

Beliau menyatakan sedemikian sebagai menolak pandangan bahawa Islam tidak dapat dilaksanakan dalam masyarakat majmuk di negara ini yang wujud hasil dari adunan pelbagai kaum oleh British semasa zaman penjajahan dahulu.

Terang beliau, semasa negara Islam berkembang zaman Khulafak ar-Rasyidin, kaum dari berbagai-bagai latar agama asal mereka; sama ada kemudiannya telah menerima Islam sebagai anutan atau tidak, mereka itu hidup dalam keadaan menerima pemerintahan Islam yang adil untuk semua.

Menurutnya, Islam diamalkan dalam masa berabad-abad di dalam wilayah paling luas; di Timur: Alam Melayu hingga Benua India; di Barat: Sepanyol hingga Pantai Barat Afrika; di Utara: Asia Tengah termasuk Moscow hingga ke Selatan: Afrika Tengah.

“Zaman tiada kapal terbang, tiada perhubungan, tiada telefon, (mengambil) jarak perjalanan berbulan-bulan (untuk sampai), tetapi cepat Islam boleh memerintah,” ujarnya.

Jelasnya, bukanlah Islam datang untuk memaksa manusia terima perundangan dan menjalankan hukum atas manusia, tetapi hal yang penting adalah kesan rahmat keadilan Islam kepada seluruh manusia.

Terang beliau, apabila masyarakat majmuk majoriti terima Islam dan budaya Islam, masyarakat bukan Arab di Mesir, Sudan, Libya, Algeria, Syria, Iraq dan lain-lain telah mengaku mereka sebagai orang Arab dan bercakap dalam bahasa Arab.

Ceritanya, budaya Islam telah menjadikan mereka itu menggunakan bahasa al-Quran menjadikan bersatu adat dan suasana mereka.

Dalam masa sama menurut Tuan Guru, masih wujud orang-orang bukan Islam beribadat di gereja yang dibina sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad sebagaimana di Mesir dan orang Majusi penyembah api di Iran di mana masih ada ada rumah ibadah yang dibina sebelum kelahiran Nabi Isa.

“Menandakan mereka tidak dipaksa menganut agama Islam. Menandakan bagaimana Islam mengurus masyarakat majmuk dan telah berjaya menyampaikan mesej dakwah. Dengan makna hidup secara masyarakat madani, masyarakat bertamadun, bertukar kebolehan, pendapat, maklumat dan kehidupan. Meraikan dan ada batas sempadan yang membeza antara satu sama lain dan tidak melampau satu sama lain,” ujarnya.

Tuan Guru turut mengaitkan suasana itu dengan Madinah sebagai Negara Islam yang ditadbir Rasulullah di mana pembinaan masjid dan pasar telah menghubungkan Baginda dengan seluruh masyarakat majmuk serta pelbagai muamalah mereka sehingga madinah menjadi kota metropolitan di rantau itu.

Islam Dan Hubungan Dengan Non-Muslim

Islam mempunyai pelbagai pendekatan dalam berhubungan dengan pihak atau masyarakat bukan Islam.

Tuan Guru menyatakan bahawa, ulama menyenaraikan lapan pendekatan untuk berhubung dengan bukan Islam iaitu tahaluf, zimmah mu‘ahadah, sulh, muwada‘ah, himayah, ta‘awun dan istianah.

Tahaluf terangnya, ialah mengadakan persefahaman bersama pihak bukan Islam dalam titik persamaan dengan mereka seperti menentang kezaliman, penyelewengan dan menghadapi pihak pelampau di mana hubungan ini dilakukan dalam batas-batas tertentu.

Pendekatan zimmah katanya, ialah orang bukan Islam yang terima Islam sebagai konsep negara dan sanggup menjadi rakyat serta menghormati undang-undang Islam yakni hudud dan qisas.

Manakala pendekatan mu‘ahadah ujar Tuan Guru, adalah hubungan negara yang bersedia untuk ada mengadakan perjanjian dengan Kerajaan atau Negara Islam.

“Digalakkan kita mengadakan hubungan dengan semua negara yang ada dalam dunia dan kita perlu mengiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ada pada hari ini. Walaupun banyak perkara kita tidak setuju, tetapi ada beberapa perjanjian yang dimeteraikan di bawah payung PBB sebenarnya mengambil daripada al-Quran dan daripada kitab-kitab fekah Islam.

“Mereka menemui jalan buntu untuk mewujudkan peraturan antarabangsa melainkan setelah orientalis melaporkan untuk diambil dari sumber Islam,” terang beliau.

Melanjutkan pembentangan, sulh pula jelasnya ialah berdamai dengan negara yang menjadi musuh perang dalam tempoh tertentu.

Dalam masa perdamaian itu katanya, dihilangkan ketengangan hingga mengizinkan rakyat negara itu untuk mengetahui mengenai Islam dan mengizinkan rakyat Negara Islam menyampaikan kepada rakyat negara itu mengenai Islam.

Sementara muwada‘ah hurai Tuan Guru, adalah gencatan senjata sementara waktu yang diizinkan oleh syarak.

Himayah pula katanya, adalah meminta perlindungan dari musuh yang baik sepertimana Nabi mendapat himayah dari Abu Talib serta menyuruh para Sahabat ke Habsyah untuk dapat perlindungan daripada rajanya.

Ta‘awun pula ujarnya, adalah bertolongan dalam perkara baik dengan pihak lain yang diizinkan oleh syarak.

“Istianah adalah meminta pertolongan ketika kita dalam keadaan lemah. Dia berperang bermusuh sesama dia. Dia nak cari kawan, kita boleh kawan dengan dia untuk lawan musuh dia,” terang Tuan Guru yang menegaskan semua hubungan itu mestilah dengan syarat tidak menggadai prinsip dan matlamat.

Tambah Ustaz Abdul Hadi, Nabi SAW mengadakan semua muamalah tersebut dan tidak bergantung dengan satu hubungan sahaja.

“Cara ini banyak cabang, jangan masuk satu pintu sahaja. Macam kita hari ini sekadar tahaluf, jumud dengan tahaluf sahaja. Tidak bergerak, tidak dikaji kemajuan, sejauh mana kekurangannya, sejauh mana boleh dibaiki, tidak dikaji.

“Yang malangnya ada nak mati dengan tahaluf, itu lagi malang. Di mana dasar kita, di mana prinsip kita? Allah mengingatkan kita supaya sentiasa beristiqamah dengan Islam dalam semua keadaan,” ujarnya memberi peringatan.

Menurut Tuan Guru juga, dalam hubungan antarabangsa, Islam membenarkan hubungan dagang dengan rakyat dari negara yang tiada hubungan diplomatik.

Terangnya, rakyat dari negara itu boleh diberikan visa untuk melakukan hubungan dagang atas kehendaknya sendiri dalam tempoh tertentu.

“Apabila mereka lihat keamananan, keadilan di negeri kita dan akhlak orang Islam, mereka balik ke negeri mereka menyampaikan maklumat kepada penduduk negeri mereka, menyebabkan mesej Islam berkembang dengan hubungan begini rupa. Inilah cara menangani masyarakat bukan Islam dengan cara baik dan tidak menjadi masalah kepada kita (berhubung dengan mereka),” ujarnya memahamkan tujuan hubungan itu. – HARAKAHDAILY 16/12/2014

Hantar Komen Anda