DAP Perlu Lebih Berhemah Dalam Mengeluarkan Kenyataan Isu Hudud

islam-adil-4allKenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Selasa 16 Disember 2014 / 23 Safar 1436H

1. Persefahaman bersama antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah untuk menentang polisi-polisi pincang dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat. Dasar-dasar bersama yang boleh dikompromi menjadi sebahagian manifesto bersama dalam PRU berasaskan konsep Negara Berkebajikan dan Negara Adil Untuk Semua. Dalam masa yang sama setiap parti menghormati perbezaan dasar dan perjuangan yang dipegang oleh setiap parti. Hal ini adalah asas kepada persefahaman PR.

2. Menegakkan Undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud adalah sebahagian perjuangan PAS yang tidak boleh ditawar-menawar. Ia telah dikanunkan oleh PAS di Kelantan pada 1993 dan di Terengganu pada 2002 jauh sebelum wujudnya Pakatan Rakyat selepas 2008.

3. Menjadi hak PAS untuk terus memperjuangkan pelaksanaan undang-undang ini di dua negeri majoriti umat Islam Kelantan dan Terengganu dengan pelaksanaannya terhadap penjenayah di kalangan orang Islam sahaja menerusi Mahkamah Syariah melainkan jika penjenayah bukan Islam juga meminta untuk dilaksanakan ke atas mereka atas prinsip perundangan “mutatis mutandis”.

4. PAS menghormati hak demokrasi untuk DAP berbeza pandangan dan tidak bersetuju. Namun, sikap DAP yang secara berterusan mempertikaikan hak PAS untuk memperjuangkan undang-undang ini di negeri Kelantan khususnya sangat tidak baik dan tidak wajar dan ia adalah satu percubaan meretakkan hubungan di kalangan PR. Ia memberi modal kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk terus bernafas. Ini adalah siri berangkai beberapa lagi tindakan DAP yang mempertikaikan PAS termasuk dalam krisis MB Selangor.

5. Saya mengharapkan pemimpin DAP lebih berhemah dalam kenyataan-kenyataan mereka khususnya melibatkan dasar PAS. Respon balas daripada pimpinan dan ahli PAS tentu sesuatu yang tak dapat dielakkan dalam keadaan tersebut.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Hantar Komen Anda