Tajdid Tanpa Ulama

tajdidSatu artikel yang menarik daripada Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengenai topik di atas. Saya kongsikan tulisan itu di bawah:

Dulu, Umno menghentam ulama dan kepimpinan ulama dalam PAS sebagai kolot, keras dan kuat menghukum.

Akhirnya usaha itu gagal apabila rakyat semakin memahami bahawa kemajuan tanpa ugama adalah kerosakan dan kerugian buat bangsa dan negara.

Kini, bukan hanya Umno, kalangan ‘ahli’ gerakan Islam pun mula menghentam dan mengutuk ulama dan kepimpinan ulamak dalam PAS sebagai lambat, keras, gemar menghukum dan ketinggalan untuk memahami waqie, maqasid syariah, tidak mesra reformasi demokrasi dan macam-macam lagi.

Hujah mereka sama seperti hujah umno dulu, tetapi dipropagandakan sebagai UG yang cair mengejar jawatan dalam kerajaan BN.

Adakah ini fenomena penghujung kepimpinan ulamak dalam PAS dengan ganti kepimpinan Islam?

Saya sedang menelaah satu gerakan terancang ke arah itu. Ia diwarwarkan sebagai tajdid. Ironinya, ia tajdid tanpa dukungan hampir semua ulama dalam PAS. Penat.

Itulah ujian ke atas para ulama sepanjang zaman. Dulu, kini dan akan datang.

Saat lemah, mereka digempur dan dihina pemerintah. Mereka pula menjadi benteng dan tempat pergantungan golongan yang lemah dan dizalimi.

Manakala pada saat kuat, mereka digeruni dan diumpan pemerintah. Malangnya, daripada kekuatan yang dibina itu, lahir pula anak buah yang mula mengambil kesempatan untuk mara ke depan dan mula melihat ulama bergerak begitu perlahan.

Apabila buah mula mekar, kesabaran mula tergugat oleh nafsu untuk segera menikmati.

Seperti yang saya nyatakan di atas, saya juga sedang menelaah satu fenomena ‘tajdid’ yang tidak mendapat sokongan para ulama, malah ia bersifat menghentam, memburuk dan memerangi para ulama haraki yang sedang berjuang menegakkan sistem dan syariat Islam di dalam negara.

Saya menelaah dan menanti jawaban kepada persoalan, adakah begini sifatnya tajdid dalam laluan sejarah tajdid umat sepanjang zaman?

Atau, ia hanyalah rangkaian ujian yang perlu ditempuh oleh seluruh keluarga ulama dan pencintanya dalam gerakan Islam?

Jika begitu, saya haruslah bertindak memahamkan seluruh ahli PAS agar terus beristiqamah membelah badai dan serangan daripada sudut yang pelbagai, dalam dan luar.

“Dan kesudahan yang baik itu adalah milik mereka yang bertaqwa.” – al ayat

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
AJK PAS PUSAT

Hantar Komen Anda