Pencerahan Isu ‘Anak Allah’

syirik anak AllahIsu ‘Anak Allah’ mempunyai pelbagai persepsi dan pandangan. Di bawah adalah salah satu pandangan mengenai isu ini.

Semoga ia dapat memberikan sedikit pencerahan.

Yang paling penting ialah aqidah Tauhid mesti dijaga dari sebarang unsur syirik agar amal soleh yang kita lakukan tidak menjadi sia-sia di sisi Allah. Pohonlah perlindungan dengan Allah dari pelbagai fitnah akhir zaman.

PENCERAHAN ISU ABNA ALLAH/ANAK-ANAK ALLAH (SIRI 1)

Firman Allah maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”. Katakanlah: “Maka mengapa Allah menyiksa kamu kerana dosa-dosamu?” (kamu bukanlah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya), tetapi kamu adalah manusia(biasa) sebagaimana orang-orang lain yang diciptakan …” (Surah Al-Maidah: 18).

1) ASBABUN NUZUL:
Tafsir Al-Jami’ Li Ahkamil Quran Imam Qurtubi RA
Berkata Saidina Ibnu Abbas RA: Rasulullah SAW telah menakutkan/mengingatkan satu kaum daripada Yahudi dengan azab (Allah). Lalu mereka berkata: Kami tidak takut kerana kami adalah anak-anak Allah dan kekasihNya. Maka turun ayat ini.

Berkata Ibnu Ishaq:  ”Nu’man bin Aaso, Bahriy bin Amr dan Sya’s bin ‘Adi datang kepada Rasulullah SAW, mereka mencela/berkata-kata kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW pun membalasnya dan menyeru mereka kepada Allah dan memperingatkan mereka tentang azab-Nya. Mereka berkata: ”engkau tidak membuat kami takut wahai Muhammad! Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-Nya!” Begitu juga kaum Nasrani berkata seperti mereka..” maka Allah menurunkan ayat diatas berkenaan tentang mereka.

Kesimpulan 1:
1.  Kebiadapan dan kesombongan Yahudi kepada Rasulullah SAW dengan penggunaan perkataan ‘Kami anak-anak Allah’. Menunjukkan mereka lebih mulia daripada  Rasulullah SAW.

2.   Rasulullah SAW mengingatkan mereka dengan azab kerana Baginda SAW telah maklumi akan kesesatan dan penyelewengan mereka terhadap akidah yang benar. Pembohongan mereka terhadap Allah Ta’ala.

2) KAITAN AYAT SEBELUMNYA & SELEPASNYA

1. Ayat ini sebenarnya masih ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu masih berkisar untuk menjelaskan tentang sikap dan akidah Yahudi dan Nasrani (Ahli Kitab).

2. Kaitan antara ayat ini dan sebelumnya bahawa Allah ingin menjelaskan kesesatan ahli kitab dikalangan Yahudi dan Nasrani secara umum, dan menjelaskan bahwa mereka adalah bangsa yang sangat enggan untuk beriman dengan syari’at Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kesimpulan: 2

Maka pada ayat 18 ini Allah menjelaskan bentuk lain dari kekufuran dan kesesatan mereka secara khusus.
Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Orang Yahudi dan Nasrani berkata bahwa mereka adalah anak-anak Allah dan kekasih-Nya”.

Dalam ayat ini terdapat sesuatu yang pelik berkaitan ahli kitab yang sebenar, mereka telah membaca Taurat dan Injil lalu mereka mengaku anak Allah. Tentu menjadi suatu pertanyaan mengapa berlaku hal sedemikian. Apakah ada sesuatu agenda disebaliknya sehingga mereka berani mengatakannya.

Kesimpulan: 3

Secara lebih umum ayat ini 18 Surah Al Maidah ini menurut Imam Al-Alusy dalam Tafsir Ruhul Maani adalah tentang “suatu kelompok yang ingin menyerapkan sebuah doktrin dan membuat kenyataan sesat yang menyalahi kenyataan umum, dan juga penjelasan suatu kesesatan secara umum kepada sesiapa yang serupa dengan mereka.”

3) PELBAGAIKAN RUJUKAN TAFSIR & MENGUMPUL SEMUA PANDANGAN2 PARA MUFASSIRIN

Adapun dalam lafaz ‘Abna Allah’  ada beberapa persoalan & pendapat para mufassirin:

Persoalan:
Kenapa Al-Qur’an masih mengatakan bahwa mereka ahli kitab, mengatakan anak-anak dan kekasih Allah? Apakah ada maksud lain atau bagaimana?

Jawaban yang pertama adalah seperti yang telah dinukil dari Imam Fakhrurrazi RA dalam Kitab Tafsirnya “Mafatihul Ghaib” atau “Tafsir Kabir” berkata:
Para Mufassirin menjawab tentangnya dari beberapa wajah/sudut:

Jawapan Pertama: Perkara ini termasuk dalam bab ‘hazful Mudhaf (Hilangkan Sandaran iaitu perkataan rasul/utusan)’. Dan ditakdirkan dengan makna: Kami anak-anak utusan Allah. Maka ringkasnya disandar pada Allah. Sebenarnya dengan makna sandaran kepada utusan Allah.

Kesimpulan: 4

Walau pun dengan makna sedemikian dengan sebab dakwaan inilah sehingga menjadikan mereka sombong yang selalu berada dalam kekufuran.

Jawaban yang kedua : “lafaz Ibnu/Abna’ sebagaimana maklum ianya digunakan/dimaknakan untuk anak kandung, maka boleh juga digunakan terhadap orang yang mengambil anak angkat .

Tidak diragukan lagi maksud kenyataan mereka “bahawa perhatian Allah lebih untuk mereka” sehingga dapat dikatakan bahwa mereka adalah anak-anak Allah…” mengikut asal penggunaan.

Kesimpulan: 5

Ayat 18 Surah Al-Maidah merupakan dalil pembohongan yang nyata dilakukan oleh Yahudi & Kristian terhadap Allah Ta’ala kerana pada hakikatnya mereka adalah seperti manusia biasa sahaja.

4) IBRAH/PENGAJARAN MENGIKUT UMUM LAFAZ:

1. Ayat 18 Surah Al-Maidah ini berkisar tentang kisah Yahudi dan Nasrani serta sifat-sifat buruk yang ada  mereka.

i. Dakwaan mereka ‘Abna/ Allah merupakan dalil menunjukkan pembohongan mereka juga suatu dakwaan yang tidak benar terhadap Allah Ta’ala.

ii. Kebiadapan dan kesombongan kepada Rasulullah SAW iii. Penyebaran doktrin yang sesat sehingga sanggup membuat kenyataan yang menyalahi umum

iv. Merasa kemulian, ketinggian kedudukan, masih dalam kebenaran sedang mereka telah berada dalam kesesatan dan kekufuran.

2. Ayat 18 Surah Al-Maidah ini juga merupakan satu gambaran umum dan dalil bahwa mana-mana orang bersifat seperti mereka adalah termasuk dalam golongan mereka walau dari segi aqidah bukan dari golongan mereka. ?? ???? ???? ??? ????.

5) RUJUK KEPADA AHLI/PAKAR DALAM BIDANG BERKAITAN

Sedikit pesanan: Serahlah kepada ahli dalam bidang masing2 terutama dalam perkara berkaitan dengan amanah yang terlalu agung iaitu berkaitan dengan pemahaman nas-nas Al Quran.

Rujuklah kepada ahli atau para ulamak yang arif supaya kita bersikap adil untuk semua jika itulah maksud kita memperjuangkan keadilan untuk semua.

Rujukan 2:
1.Tafsir  Al-Jami’ Li Ahkamil Quran Imam Qurtubi RA
2. Tafsir At-Tobari Imam Muhammad B. Jarir Abu Ja‘far At-Tobari  Jamiul-Bayan ‘ani Ta’wil Ayatul Quran.
3. Tafsir Munir Fil Aqidah WaS Syariah Wal Manhaj  Dr Wahbah Zuhaili
4. Tafsir Ruhul Maani Imam Al-Alusiy Syihabuddin Al-Baghdadi
5. Al-Burhan Fi Ulumil Quran Imam Badruddin Az-Zarkasyi
6. Mafatihul Ghaib Minal Quranil Karim Imam Fakhruddin/Tafsir Al Kabir Imam Fakhruddin Ar Razi
7. Tafsir Al-Kasyaf Imam Al-Zamakhsyari (Pendapat Sudut Bahasa

PENCERAHAN ISU WE ARE ALLAH’S CHILDREN/NAHNU ABNA’ ALLAH (SIRI 2)

PERTAMA:  PENGERTIAN UNGKAPAN ‘WE ARE ALLAH’S CHILDREN’

1) Pengertian umum: Mengikut makna yang diterjemah dari sudut penggunaan  bahasa & bentuk penulisan: Allah’s Children dengan tanda ‘S pada perkataan Allah bermaksud kepunyaan Allah. Contoh lain Ali’s Cake ..Kek itu kepunyaan Ali. Lebih penekanan kepada subjek iaitu kek.

Maka ‘We Are Allah’s Children membawa maksud ‘Kita Semua Anak2 (Zuriat) Kepunyaan Allah/ Bahasa ringkasnya ‘Kami Semua Anak2 Allah’.

2) Di sana ada pihak yang mendakwa bukan bermaksud sedemikian tidak boleh diterjemah secara literal maka terjemahnya ialah: ‘Kami semua adalah sama, ciptaan Allah, milikNya dan dikasihiNya.

Maksud ini didapati daripada penyebarnya iaitu salah seorang daripada SIS dan fahaman ini  atau makna ini juga dikehendaki oleh masyarakat barat yang berbahasa inggeris yang majoriti beragama kristian.

Kenapa tidak rujuk Al Quran yang telah membincang isu ini lebih 1400 tahun. Kenapa tidak rujuk maksud kepada pewaris2 Nabi saw yang lebih memahami makna secara literal atau tidak?

Bagi ahli ilmu yang mewarisi ajaran akidah yang benar daripada ulamak2 pewaris Nabi saw adalah jelas lagi bersuluh.

KEDUA: WE ARE ALL ALLAH’S CHILDREN (NAHNU ABNA’ ALLAH/KAMI ANAK ALLAH) UNGKAPAN YAHUDI & KRISTIAN

1) Jika saudara n saudari telah membaca pencerahan saya pada siri 1 berkaitan ‘anak-anak Allah’ maka apa sahaja makna WE ARE ALLAH’S CHILDREN, sama ada secara zahir (literal)  atau makna secara majaz (kiasan) hakikatnya ianya bersumberkan daripada ungkapan Yahudi & Kristian yang kafir lagi sesat.

2) Ungkapan WE ARE ALLAH’S CHILDREN itupada hakikatnya tidak sama sekali membawa maksud yang benar sama literal atau tidak literal kerana para ulamak telah menjelaskan bahawa maksud sebenar kaum Yahudi & Kristian adalah membawa kebatilan n kesesatan seperti berikut:

i.  Dakwaan mereka ‘Abna/ Anak Allah merupakan dalil menunjukkan pembohongan mereka juga suatu dakwaan yang tidak benar terhadap Allah Ta’ala.

ii. Kebiadapan dan kesombongan kepada Rasulullah SAW

iii. Penyebaran doktrin yang sesat sehingga sanggup membuat kenyataan yang menyalahi umum

iv. Merasa kemulian, ketinggian kedudukan, masih dalam kebenaran sedang mereka telah berada dalam kesesatan dan kekufuran.

KETIGA:  UNGKAPAN ‘WE ARE ALLAH’S CHILDREN’ MEROSAKKAN AKIDAH KEPADA PENGUNGKAP & PENYOKONG

Ungkapan terasebut sama ada difahami secara literal atau tidak  atau maknanya bersumberkan dari fahaman barat yang beragama yahudi dan kristian ianya mempunyai agenda & kesan berikut:

Agenda Merosakkan Akidah: Ayat 18 Surah Al-Maidah ini juga merupakan satu gambaran umum dan dalil bahwa mana-mana orang bersifat seperti mereka adalah termasuk dalam golongan mereka walau dari segi aqidah bukan dari golongan mereka.  ?? ???? ???? ??? ????

KEEMPAT: UNGKAPAN ‘WE ARE ALLAH’S CHILDREN’ AGENDA PENYERAPAN DOKTRIN YANG SESAT

Penyebaran Doktrin Yang Sesat: Secara lebih umum ayat ini 18 Surah Al Maidah ini menurut Imam Al-Alusy dalam Tafsir Ruhul Maani adalah tentang “suatu kelompok yang ingin menyerapkan sebuah doktrin dan membuat kenyataan sesat yang menyalahi kenyataan umum, dan juga penjelasan suatu kesesatan secara umum kepada sesiapa yang serupa dengan mereka.”

Diharap dan dinasihati kepada semua kaum muslimin agar tidak menggunakan ungkapan tersebut sama ada secara literal atau tidak kerana ungkapan tersebut adalah agenda yahudi & kristian untuk menyesatkan pemikiran dan akidah umat Islam.

Juga jangan ada dikalangan pimpinan dan umat Islam yang berusaha untuk membetulkan ungkapan itu agar ia nampak benar pada pandangan Islam. Islam sememangnya sudah adil untuk semua.

KELIMA: UNGKAPAN ‘WE ARE ALLAH’S CHILDREN’ AGENDA LIBERALISME & PLURALISME

Sebagai seorang muslim dan muslimah akidah tentang istilah anak & Allah adalah jelas dalam Surah Al-Ikhlas.  ‘Kami semua adalah sama, ciptaan Allah, milikNya dan dikasihiNya’ merupakan ungkapan yang penuh dengan syubhat atau kesamaran. Kenapa tidak menggunakan ‘WE ARE ALL ADAM’S CHILDREN’?

Maka inilah yang menunjukkan terdapat agenda penyerapan pemikiran Liberalisme melalui pemahaman pluralisme iaitu akan memabawa kepada kesamaan persaudaraan atau kesamaan agama.

Sepatutnya pemimpin dan umat Islam menjelaskan makna tersurat dan tersirat disebalik ungkapan yang berasal daripada pembohongan yahudi, kristian dan barat untuk menyesatkan dan merosakkan akidah bukan mengelirukan lagi apa yang telah keliru.

KEENAM: HUKUM UNGKAPAN ‘WE ARE ALLAH’S CHILDREN’ SAMA ADA MAKNA LITERAL ATAU TIDAK

Hukum ini ke atas kaum muslimin terbahagi kepada beberapa pendapat para ulamak:

1) Sekiranya orang-orang mengucapkan dengan maksud bahawa semua manusia adalah anak Allah seperti akidah kaum Nasrani mengatakan Nabi Isa adalah anak Allah maka hukumnya adalah kafir dan kekufuranya melebihi kaum Nasrani.

2)Sekiranya yang mengucapkan dengan maksud bahawa semua manusia adalah anak-anak Allah atau bermaksud semuanya dibawah jagaan Allah (keluarga Allah) yang memberi gambaran bahawa tidak ada beza di antara muslim dan kafir.

Dan bertujuan dengan ungkapan tersebut untuk membawa makna tidak mahu mengkafir yahudi, kristian, penyembah berhala (pent. maksud pluralisme agama iaitu menganggap agama n semua penganut agama adalah sama) maka hukum pengucap tersebut adalah murtad. (Pemikiran Liberalisme & Pluralisme)

3) Sekiranya lafaz atau ungkapan tersebut bermaksud untuk menyebarkan maksud ‘persaudaraan’ atas yahudi dan kristian kerana mereka adalah makhluk Allah/ciptaan Allah/milik Allah/dikasihi Allah maka ianya adalah batil atau sesat.

KETUJUH: KAEDAH KITA BERHUKUM SECARA ZAHIR, ALLAH YANG MENGETAHUI PERKARA BATIN

1) Apabila seorang yang mengaku Islam kemudian mempopularkan atau mengungkap lafaz-lafaz atau ungkapan yang mengelirukan secara terang terangan atau ungkapan tersebut telah sedia maklum dalam Islam bahawa ianya adalah ungkapan batil/sesat yang sekian lama diungkap oleh yahudi dan kristian maka apa lagi yang hendak diminta penjelasan kerana ianya telah jelas sebagaimana dalam perbahasan para ulamak dan dalam kitab2 tafsir.

2) Hendaklah kaum muslimin secara total dan tegas menjauhi dan jangan menggunakan lafaz2 atau ungkapan yang samar dan membawa kepada sangkaan yang buruk juga jangan cuba mempertahankan atau menghuraikan ungkapan yang membawa kesamaran lebih2 lagi berkaitan dengan tauhid kepada Allah dan segala yang berkaitan dengan sifatNya, nama-namaNya kerana hak Allah lebih utama untuk dijaga. Apatah lagi lafaz2 yang telah diguna oleh yahudi dan kristian serta Al-Quran sendiri telah mencela perbuatan tersebut.

KESIMPULAN UMUM

Peringatan kepada semua agar jangan menjadi alat kepada golongan yang ingin merosakkan akidah umat Islam atas nama apa sekalipun. Islam adalah adil untuk semua. Jangan menuntut Islam adil tetapi mereka sendiri tidak adil kepada Islam.

WALLAU ‘ALAM

AL FAQIR NIK BAKRI NIK MAT

Komen (3)

  1. nur zawani bt zakaria says:

    saya mohon untuk ambil ilmu ini sebagai rujukan ilmiah terima kasih ustaz

  2. nik alfonso says:

    ayat diatas adalah ayat 18 surah al-maidah.bukan ayat 30
    mohon perbetulkan kerana dikhuatiri berlaku akan kekhilafan.terima kasih

  3. Ustaz Nik Nasri says:

    tkasih

Hantar Komen Anda