Menangkis Label Buruk Terhadap Ulama Haraki

ulamaUlama pewaris Nabi. Baginda tidak meninggalkan dinar dan dirham tetapi meninggalkan ilmu. Ulama haraki bukan sahaja mencari dan mendalami ilmu tetapi juga menangani isu yang dialami oleh umat Islam. Mereka yang tidak suka kepada ulama haraki sengaja melabelkan mereka dengan pelbagai label buruk. Ia bertujuan menjauhkan umat dari ulama haraki, Saya menukilkan sebuah artikel yang baik untuk dibaca bagi menjawab dan menangkis serangan yang dibuat terhadap ulama haraki.

MENANGKIS LABEL-LABEL BURUK TERHADAP ULAMAK HARAKI DI KALANGAN PENYOKONG PAS DAN PR SENDIRI

Firman Allah, bermaksud, “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (para ulamak).” Faathir: 28

Sabda Nabi SAW bermaksud, “Ulamak ialah pewaris para Nabi”.Riwayat Imam at-Tirmizi

MUKADDIMAH

Mutakhir ini, ulamak di dalam Pas diserang dgn pelbagai persepsi buruk drpd segenap sudut. Mereka ditohmah sebagai tidak pandai berpolitik, tidak tahu berorganisasi, eksklusif dalam mengeluarkan hukum, gila kuasa dan banyak lagi. Terbaru, mereka dianggap penghalang kepada kelicinan proses tahaluf siyasi Pas di dalam PR.

Bahkan ada pihak yg sanggup pergi lebih jauh sehingga sampai sanggup menggelarkan ulamak Pas sebagai berhala suci yang wajib dihapuskan. Ada juga yang sampai menyamakan ulamak Pas dengan instituisi paderi dlm kristian. Yang lebih menarik, serangan liar ini bukan datang daripada orang luar Pas, tetapi daripada lingkungan penyokong dalaman mereka sendiri.

Pendek kata, demi membuka jalan ke Putrajaya, ulamak di dalam kepimpinan Pas tidak lagi dilihat oleh sebahagian daripada penyokong Pas sebagai pemangkin kepada kemenangan, tetapi sebagai beban yang perlu digalas secara terpaksa.

Suatu perubahan drastik dalam pemikiran politik penyokong Pas yang tidak dijangka oleh mana-mana penganalisis di dalam dan di luar Pas sebelum daripada ini.

BEBERAPA JENIS LABEL YG BIASA DIBERIKAN KPD ULAMAK PAS

Biasanya Umno yg akan hentam ulamak. Ulamak Pas biasanya dituduh sebagai tidak ikhlas. Mereka bukan berjuang kerana Allah tetapi kerana mengejar kuasa atau kerusi. Ulamak Pas menghasut pengikut menjadi taasub. Ulamak Pas jumud, tak faham Islam dan banyak lagi.

Biasanya aktivis hak asasi manusia yg akan tuduh Pas nak buat negara teokrasi dan ketuanan sekumpulan ulamak. Negara Ayatollah atau Taliban, kata mereka. Pas nak paksa orang bukan Islam tutup aurat, tak minum arak dan halang mereka makan babi. Pas akan paksa hukum Islam ke atas orang bukan Islam. Hak asasi orang bukan Islam akan terjejas teruk, jika syariah dilaksanakan.

Biasanya golongan liberal yg akan hentam ulamak sebagai golongan elit yg mencipta hukum sendiri atas nama Allah. Ulamak menjadikan al-Quran sebagai hak ekslusif untuk ditafsirkan oleh ulamak sahaja. Golongan bukan ulamak tak boleh tafsir al-Quran. Sedangkan Islam sesuai dengan logik dan dunia moden. Oleh itu, semua pihak berhak mentafsirkan al-Quran dan hadith mengikut akal genius mereka. Tak perlu menurut disiplin ilmu tafsir, hadith, fiqh dan usul fiqh yang ditetapkan oleh para ulamak.

Begitulah besarnya serangan berbentuk persepsi negatif kepada golongan ulamak. Serangan yg bukan saja hendak menjatuhkan kredibiliti golongan ulamak, tetapi sebenarnya bertujuan untuk menghancurkan sebarang gerakan yg bercita-cita untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup dalam dunia yang sebenar.

Namun begitu, serangan terbaru kepada ulamak Pas oleh sebahagian penyokong Pas sendiri mutakhir ini, tidak lari daripada label-label lama ini yang kebanyakannya adalah label-label yang dijaja oleh orang sangat kurang kefahamannya kepada ajaran agama Islam itu sendiri. Ia berikutan daripada arus kuat sokongan kepada Pas demi menumbangkan kezaliman UMNO-BN semata-mata, bukan sokongan berdasarkan kefahaman yang betul.

Untuk itu, kita akan berikan jawapan-jawapan secara perlahan-lahan untuk memudahkan kefahaman, bukan semata-mata jawapan balas untuk menghentam rakan-rakan baru kita yang baru menjadi ahli keluarga Pas yang besar lanjutan terkesan dengan gelombang reformasi, Asal Bukan UMNO dan sistem 2 Parti beradasarkan tahaluf siyasi.

Semoga kita semua beristiqamah di atas perjuangan Islam yang sebenar.

BEBERAPA TAKRIF ULAMAK

Untuk membincangkan fenomena baru ini, berikut beberapa takrif yang perlu kita fahami untuk memudahkan perbincangan.

Ulamak ialah lafaz jamak dalam bahasa Arab. Lafaz mufradnya ialah ‘Aliim. Tetapi dalam bahasa melayu istilah ulamak merujuk kepada lafaz mufrad kecuali digandakan seperti ulamak-ulamak atau disebutkan para ulamak.

1. Ulamak – ialah orang memahami dasar-dasar serta cabang-cabang agama Islam berdasarkan kefahaman mendalam terhadap al-Quran dan as-Sunnah, yang dimulai dengan melalui proses pengajian dan pembelajaran, kemudian beramal dengan ilmu dan menyebarkannya serta mempunyai sifat-sifat takut kepada Allah, zuhud di dunia dan gemarkan akhirat.

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari ialah disebutkan sebagai al-Fiqhu fid-Diin.

2. Ulamak dalam ilmu fiqh – ialah al-faqih.
3. Ulamak dalam ilmu usul Fiqh -  ialah al-mujtahid.

Al-faqih dan al-mujtahid adalah istilah yang lebih khusus dalam menghuraikan sifat ulamak yang mampu mengistibatkan hukum syara’ berdasarkan dalil-dalil syarak yang terperinci dan dalil-dalil syarak umum.

4. Ulamak Akhirat atau Ulamak ‘Amiliin – ialah ulamak yang menepati takrif ulamak pada takrif yang pertama.

5. Ulamak as-Su’ atau Ulamak Dunia – ialah ulamak yang mampu memahami al-Quran dan as-Sunnah dan beberapa ilmu-ilmu berkaitan istinbat hukum, tetapi sanggup menggunakan ilmu mereka untuk semata-mata mencari habuan dan kedudukan dunia serta tidak takutkan azab Allah di negeri akhirat.

6. Ulamak Rasmi -  ialah ulamak yang dilantik oleh Kerajaan untuk berada dalam jawatan-jawatan tertentu dalam kerajaan seperti mufti, qadhi, pegawai pejabat agama Islam dan lain-lain.

7. Ulamak Haraki – ialah ulamak ‘amiliin yang berjuang dan bekerja di dalam organisasi-organisasi gerakan Islam dengan tujuan untuk memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup yang syumul dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan seluruh bidang kehidupan, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah bagi menjamin keadilan untuk semua dan kerahmatan untuk seluruh alam.

Untuk itu, ulamak haraki juga akan menghadapi semua musuh kepada gerakan Islam di seluruh dunia, sama ada halangan berbentuk kerajaan yang zalim, sistem sekular, pelbagai ideologi pemikiran manusia, Islam yang diselewengkan seperti Islam liberal, masyarakat yang keliru dan halangan-halangan lain-lain.

8. Ulamak dalam Dewan Ulamak Pas – Pas adalah sebuah organisasi gerakan Islam. Ulamak di dalam Dewan Ulamak Pas ditakrifkan oleh perlembagaan Pas Fasal 43, ceraian 3, “Ahli bagi Dewan Ulamak ialah tuan-tuan guru atau siswazah-siswazah lulusan apa-apa bidang pengajian Islam daripada mana-mana instituisi pengajian tinggi atau mana-mana orang yang menuasai pengajian Islam yang telah menjadi ahli Pas”.

9. Majlis Syura Ulama PAS – Badan ini adalah badan tertinggi di dalam Pas yang terdiri daripada tidak lebih daripada 17 orang dengan diketuai oleh seorang al-Mursyidul ‘Am. Ia bagi memastikan Fasal 7 Perlembagaan Pas mengenai hukum tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta ijmak ulamak dan qias yang terang dan nyata, dapat dimartabatkan dengan baik dan berkesan.

Dalam fasal 8 Perlembagaan Pas, ceraian 3, mentakrifkan ahli Majlis Syura Ulamak sebagai, “…hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masala itu kepada al-Quran dan, as-sunnah, ijma’ dan qias dan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah orang yang adil iait tidak melakukan dosa besar atau terus menerusmelakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah  seorang ahli Pas.”

Dengan itu takrifan ulamak dalam Majlis Syura Ulamak adalah lebih khusus dengan syarat-syarat yang lebih ketat daripada takrif ulamak dalam Dewan Ulamak Pas. Ini kerana Majlis Syura Ulamak Pas memerlukan kepakaran istinbat hukum syarak yang sangat diperlukan dalam menilai dasar-dasar dan perjalanan parti agar tidak tergelincir daripada garisan syarak. Sementara ahli-ahli Dewan ulamak pula lebih kepada bertugas sebagai tenaga kerja ke peringkat akar umbi bagi memahamkan ahli parti dan orang ramai tentang Islam dan perjuangan Pas serta memberi khidmat bakti dalam pelbagai cabang kehidupan bermasyarakat.

MENOLAK BEBERAPA LABEL YANG BERTENTANGAN DENGAN  AKIDAH SEORANG MUSLIM

Antara tohmahan berbentuk begini ialah seperti tohmahan ulamak hendak berperanan sebagai tuhan, ulamak adalah ibarat berhala suci yg tidak boleh dicanggah, ulamak adalah wakil tuhan yg menjatuhkan hukum sesuka hati di atas nama tuhan seperti paderi-paderi yg bebas menghalal dan mengharamkan sesuatu atas nama tuhan tanpa petunjuk dan bukti daripada Allah.

Konsep tohmahan seperti itu adalah sangat liar, syirik dan terkeluar daripada konsep asas akidah Islam.

Pokok akidah seorang muslim itu dizahirkan dalam pengakuan dua kalimah syahadah. Iaitu bersaksi bahawa Allah SWT adalah tuhan sebenar yg wajib disembah dan nabi Muhammad SAW, adalah manusia yang dilantik sebagai utusan Allah.

Atas asas ini, seorang Islam segera faham bahawa baginda SAW adalah hamba Allah, bukan tuhan. Baginda adalah hamba Allah yg dimuliakan dengan perlantikan sebagai nabi dan rasul. Baginda dimuliakan juga dengan sifat maksum iaitu terpelihara daripada dosa dan kesilapan dalam menyampaikan syariat.

Ulamak pula adalah pewaris para nabi. Mereka tidak menerima wahyu secara langsung daripada Jibril as. Mereka juga tidak maksum seperti para nabi dan rasul. Tetapi mereka mendapat kelebihan ilmu syara’, pusaka yg ditinggalkan oleh Rasulullah SAW melalui jalan belajar. Sehingga mereka dapat memahami al-Quran dan as-sunnah sebagaimana yg diajarkan oleh baginda SAW kpd para sahabatnya.

Di mana, dengan berpegang kpd al-Quran dan as-Sunnah yg difahami dengan sebenar sebagaimana yg diajarkan oleh Rasulullah SAW kpd para sahabat, telah mendapat jaminan drpd Rasulullah SAW sendiri bahawa ummat begitu keadaannya tidak akan sesat selama-lamanya.

“Sesungguhnya aku tinggalkan kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selepas kedua-duanya; Kitabullah dan Sunnah pengajaranku”

Riwayat al-Hakim

JADI APAKAH TUGAS ULAMAK DALAM MENENTUKAN SESUATU HUKUM?

Oleh itu para ulamak bukanlah galang ganti kepada al-Quran dan as-Sunnah tetapi sebagai pengikut setia yang luas kajiannya dan mendalam kefahamannya tentang al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, jika ada sesuatu masalah berkaitan hukum, dirujuk dahulu dalam al-Quran. Jika ada hukum di dalamnya, maka ulamak Islam akan berhukum dengan al-Quran. Jika tiada dalam al-Quran, mereka merujuk dalam kitab-kitab hadith. Jika ada dalam kitab-kitab hadith, mereka berhukum dengannya.

Jika tiada hukum dalam al-Quran dan hadith secara langsung, mereka mencari perkaitan yang wujud antara perkara baru yang belum ada hukum dengan perkara-perkara yang telah ada hukumnya di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Jika tepat perkaitannya, mereka akan berhukum dengannya.

Jika ada pertembungan dalil bagi suatu hukum tertentu, ulamak-ulamak akan membahaskan dalil-dalil itu daripada segi am dan khas, mutlak dan muqayyad, nasikh dan mansukh serta maqasid syariah. Maka hukum bagi satu masalah tertentu itu dapat diselidiki dan diperincikan dengan lebih mendalam lagi, sehinggalah mereka menemui hukum yang paling tepat mengikut ijtihad mereka. Tetapi jika telah ada ijma’ tentang hukum yang pada asalnya ada beberapa pandangan berbeza, para ulamak akan menuruti ijmak dan tidak akan melanggarnya.

Jika tiada nas, mereka menilai daripada sudut dalil-dalil usul fiqh yang lain iaitu dalil-dalil umum yang juga diterbitkan jdaripada kefahaman mendalam terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Ilmu ini dipanggil ilmu Usul al-Fiqh.

Tidak sekali-kali ulamak Islam mencipta hukum mengikut hawa nafsunya tanpa bersandar kepada al-Quran, as-Sunnah dan dalil-dalil syara’ yang lain.

Mungkin kerana kita biasa dimudahkan oleh para ulamak dengan memberitahu hukum sesuatu perkara adalah begitu dan begini, tanpa kita disibukkan dengan mendengar perbahasan dalil-dalilnya, kita merasa proses menentukan hukum syara’ boleh dibuat dengan semudah menggoreng pisang goreng di dalam kuali.

Jadi kita amat kurang menghargainya.

TUDUHAN ULAMAK PAS MENGEJAR KEKUASAAN DAN PENGARUH BUKAN MENGEJAR AKHIRAT

Tuduhan seperti ini memang sudah lama cuba dipahatkan dalam kontena pemikiran masyarakat. Tujuannya untuk menjauhkan masyarakat daripada petunjuk Islam dalam politik.

Bila tiada ulamak, tiadalah kedengaran petunjuk daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tujuan menjauhkan ulamak drpd politik, sebenarnya bertujuan untuk menjauhkan pengaruh Islam dalam politik. Biar manusia bebas merangka dasar dan undang-undang berdasarkan akal mereka yg singkat. Tak perlu merujuk kepada wahyu. Tak perlu peduli dosa pahala.

Imam al-Ghazali membahagikan ulamak kpd ulamak akhirat dan ulamak jahat. Ulamak akhirat tidak takut kpd celaan orang yg mencela dan berani berkata benar walaupun pahit. Mereka terjun dalam masyarakat, menerangkan kebaikan syariat Islam dan mengajak masyarakat menghayati kehidupan berpolitik mengikut Islam yg sebenar. Itulah yang dibuat oleh ulamak Pas.

Tentulah kerja itu tidak mudah. Ada pimpinan masyarakat yg tidak mahu kepimpinan Islam kembali berdaulat. Ada ulamak jahat yg dibeli dengan kebendaan yg sanggup menjadi soldadu murahan untuk berhadapan dengan ulamak akhirat. Ada ulamak rasmi yg berhalangan memberikan sokongan terbuka kpd ulamak yg berjuang untuk menegakkan syariat dalam sistem politik negara.

Ada juga kecaman daripada kumpulan non muslim. Ada tidak puas hati daripada pejuang hak asasi manusia. Ada serangan sinis daripada ummat Islam yg terpedaya dengan serangan pemikiran hebat yg melanda ummat Islam. Ada sergahan daripada mereka yg berkuasa. Ada juga penjara, akta hasutan, mageran, pecat, tukar, black list, tidak naik pangkat dan macam-macam rintangan.

Namun para ulamak haraki memahami firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat 42 yang bermaksud,

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.”

Dan mereka memahami firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud,

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

ULAMAK PAS BERADA DALAM ORGANISASI YANG TERSUSUN UNTUK MENDAULATKAN ISLAM BUKAN KERANA GILA KUASA

Bagaimanakah kebenaran mampu mengatasi kebatilan yg tersusun rapi? Tentulah dengan organisasi yg tersusun rapi juga.

Para ulamak merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah mendapati bahawa perjuangan Islam tidak mampu dipikul oleh individu tetapi mestilah secara berjamaah. Di Malaysia mesti ada ada satu jamaah yang memperjuangkan Islam di persada politik negara bertujuan untuk membentuk masyarakat Islam yang beramal dengan hukum hakam dan nilai-nilai Islam yang syumul. Maka Pas ditubuhkan.

Pas menggabungkan semua pihak yang cintakan Islam daripada kalangan ulamak, profesional, ahli perniagaan, guru, orang kampung, orang bandar, warga tua, muda, lelaki dan wanita, berpendidikan rasmi atau tak rasmi untuk sama-sama berganding bahu dalam sebuah jamaah yang besar. Ditunjangi oleh ulamak yg memahami Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW serta para pendokong dan penyokong yg sanggup berkorban masa, tenaga dan nyawa demi menegakkan syariat Islam di negara kita yang tercinta.

Para ulamak Pas sejak itu telah mengkaji dan meluluskan pelbagai strategi ke arah matlamat murni itu. Ini bagi memastikan strategi yg diambil ada sandarannya daripada al-Quran dan as-Sunnah, mengikut batas hukum syara’, membuat penilaian tentang keadaan semasa serta mengambil kira maqasid syariah.

Ulamak di dalam Pas hadir di dalam setiap hireki kepimpinan Pas. Daripada AJK Pusat sehinggalah AJK Cawangan. Mereka bukan sahaja bergelumang dengan kertas kerja, mesyuarat panjang dan pendek, berwacana, menggarap idea dan strategi. Bahkan turut juga bergelumang bersama akar umbi di kampung-kampung dan cawangan-cawangan membantu menyelesaikan masalah setempat serta memberikan khidmat bakti yang panjang jika disebut satu persatu.

Bersesuaian sebagai sebuah gerakan Islam, Pas mengkhususkan dua badan khas dalam parti bagi mewakili para ulamak dalam memberikan pandangan serta memantau perjalanan parti supaya terus beristiqamah di atas landasan perjuangan Islam. Iaitu Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak.

Kesimpulannya, ulamak Pas bukanlah gila kuasa tetapi bagi memastikan proses perjuangan Islam dan peralihan kuasa dalam kerajaan pada hari kemenangan Pas adalah bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya SAW.

TUDUHAN MAJLIS SYURA ULAMAK PAS ADALAH MENGIKUT KONSEP SYIAH

Konsep Majlis Syura Ulamak Pas berbeza dengan konsep pemerintahan al-Faqih (Wilayatul Faqih) dalam sistem politik Iran. Yang paling ketara perbezaan mazhab akidah antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah dengan akidah Syiah itu sendiri.

1. Istilah ulamak dalam Majlis Syura Ulamak merujuk kepada ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada sumber al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Sementara istilah ulamak atau Al-Faqih dalam mazhab Syiah ialah ulamak-ulamak Syiah bertaraf mujtahid atau maraji’ yang merupakan galang ganti sementara kepada Imam Mahdi al-Muntazhar yang ghaib, dalam menentukan hukum-hakam mengikut mazhab Syiah berdasarkan al-Quran, as-Sunnah mengikut riwayat syiah dan juga nas-nas daripada  Imam-Imam Syiah yang maksum.

Konsep galang ganti kepada Imam Mahdi Muntazhar yang maksum dan konsep berpegang kepada nas-nas daripada Imam-Imam yang maksum adalah konsep-konsep mazhab Syiah yang tidak wujud di dalam pegangan ahlus Sunnah.

2. Ijtihad awal Ahlus Sunnah wal-Jamaah berlaku sejak zaman Rasululllah SAW di mana ia telah dipraktikkan oleh para sahabat ketika berada jauh daripada baginda SAW. Kemudian ia diteruskan selepas kewafatan Rasulullah SAW oleh mereka yang mencukupi syarat-syaratnya pada setiap zaman.

Sedangkan ijtihad Syiah Imamiyyah hanya berlaku selepas keghaiban besar Imam Mahdi al-Muntazhar yang terlalu lama, sehingga Syiah terpaksa juga membuka pintu ijtihad. Walhal sebelum itu, semua hukum hakam Syiah adalah berdasarkan nas daripada Imam-Imam Maksum dan Naib-Naib Imam maksum yang juga maksum mengikut akidah mereka.

Ijtihad .

3. Majlis Syura Ulamak dipengerusikan oleh al-Mursyidul Am dengan sebanyak-banyaknya 16 anggota yang lain adalah berdasarkan kepada konsep Ijtihad Jama’ie seperti ijtihad jama’ie yang dipraktikkan oleh Majma’ Fiqh dalam memutuskan sesuatu hukum. Ia lebih menjamin hasil ijtihad yang lebih kuat dan meyakinkan berbanding dengan ijtihad fardi seseorang mujtahid tertentu sahaja di dalam Pas.

Sementara Wilayatul Faqih di Iran memberikan kuasa besar kepada Pemimpin Tertinggi Revolusi Iran yang bertaraf marja’ dalam urusan berkaitan pentadbiran dan pengurusan sumber serta pertahanan negara. Di mana ulamak-ulamak Syiah yang lain bertaraf marja’ mestilah taat kepada Pemimpin Tertinggi Revolusi dalam hal-hal yang sebegitu. Dalam hal-hal hukum fiqh yang lain, ulamak-ulamak Syiah boleh berbeza pendapat dengan Pemimpin Tertinggi Revolusi.

Perbezaan begitu jelas tentang kuasa al-Mursyidul Am dengan Pemimpin Tertinggi Revolusi.

4. Perbezaan juga begitu ketara daripada aspek, organisasi yang dipimpin. Majlis Syura Ulamak Pas hanya untuk Parti Pas dan bukan untuk Kerajaan Malaysia. Sedangkan Wilayatul Faqih melibatkan sistem negara Iran merangkumi Pemimpin Tertinggi Revolusi, Presiden, Majlis Pakar Perundangan dan Majlis Syura Iran atau Parlimen Iran.

Begitu jelas keterlaluan orang yang menuduh Majlis Syura Ulamak Pas mengambil Konsep Wilayatul Faqih. Tidak dapat hendak disamakan di mana-mana sudut. Dalam Usul Fiqh disebut sebagai al-Qiyas ma’al Fariq.

TUDUHAN ULAMAK TIDAK TAHU BERPOLITIK DAN ANTI PR

Ini adalah tuduhan liar untuk menjatuhkan kredibiliti Presiden Pas, Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak Pas.

Saya tidak akan membahaskan tajuk ini secara spesifik dalam artikel ini. Cukuplah disebutkan beberapa persoalan untuk kita fikirkan bersama.

1. Jika Presiden PAS, YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang tidak tahu sepak terajang politik dalam negara ini, kenapakah organisasi Pas dibawah kepimpinan beliau semakin mendapat tempat di dalam persada politik negara? Pas memerintah Kelantan sejak 1990, pernah menang di Terengganu dan Kedah pada tahun 1999. Pas pernah berkongsi kuasa memerintah di Perak dan masih berkongsi kuasa di Selangor. Walaupun pilihanraya di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai insiden dan demokrasi yang berat sebelah.

2. Jika ulamak Pas tidak tahu berpolitik, bagaimanakah kepimpinan Dato’ Bentara Setia Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan yang serba kekurangan sumber kewangan, selain daripada dinafikan pelbagai hak oleh Kerajaan Pusat, dapat bertahan dengan jayanya tanpa terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. Peralihan kuasa MB Kelantan kepada YAB Datuk Ahmad Yaakub juga berjalan secara licin dan tertib.

3. Jika Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak Pas anti tahaluf siyasi dengan PR, kenapakah mereka meluluskan cadangan Pas Pusat untuk mengadakan tahaluf siyasi setelah mereka bersidang beberapa kali termasuk dengan ulamak-ulamak gerakan Islam Antarabangsa. Seterusnya memutuskan tahaluf siyasi dengan PR adalah harus dengan syarat-syarat yang tertentu. Di mana hasilnya, pakatan pembangkang menapat undi popular melebihi 50 peratus dalam PRU ke 13 baru-baru ini.

4. Jika ulamak Pas tidak tahu berpolitik, masakan negeri-negeri yang diperintah oleh Pas sering mendapat pelbagai anugerah pentadbiran dan pengurusan kewangan oleh pelbagai pihak termasuk pihak Kerajaan Pusat dan Jabatan Audit Negara.

5. Jika Presiden Pas tidak bijak berpolitik, tentu PR akan mempunyai hubungan yang retak dengan istana Selangor berikutan krisis MB Selangor baru-baru ini. Atau Selangor mungkin akan berhadapan pilihanraya kecil yang sangat tidak diperlukan oleh PR.

Saya fikir ini cukup untuk menafikan dakwaan itu.

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Serangan kepada ulamak Pas daripada sebahagian kalangan penyokong Pas dan PR adalah sangat tidak berasas dan memilukan. Serangan daripada dalam tentulah pedih jika dibandingkan dengan dengan serangan daripada pihak luar. Ulamak Pas telah sedia dilabelkan dengan pelbagai label bagi tujuan mengelirukan masyarakat awam. Label-label merendahkan kedudukan, pengetahuan dan pengorbanan para ulamak di dalam Pas hanya menguntungkan musuh yang telah melaburkan jutaan ringgit untuk menjatuhkan kredibiliti ulamak Pas.

Jika Pas lemah, PR juga akan lemah. Apalah untungnya komponen PR menyerang komponen PR yang lain secara terbuka. Apalah untungnya menubuhkan NGO untuk memperkasakan PR tetapi asyik membelasah kepimpinan Presiden Pas.

Tidak ada apa kebaikannya menyerang ulamak Pas untuk memaksa Pas menukar kepimpinan Presiden semasanya pada hari ini. Parti yang boleh dipaksa oleh pihak luar untuk menukar saf kepimpinannya, tentulah sebuah parti yang sangat lemah dan sekadar bercap ayam.

Lupakanlah hasrat itu, wahai Tony Phua. Lupakanlah hasrat itu, wahai Pasma. Lupakanlah hasrat itu, wahai musuh Pas di dalam selimutnya sendiri. Pas akan terus melonjak ke hadapan sebagai rahmat untuk semua.

Untuk para pejuang Pas yang ikhlas sama ada  ulamak, profesional, ahli politik, ahli perniagaan, guru, pekerja kolar putih, kolar biru dan tak berkolar, muda dan tua, lelaki dan wanita yang kasihkan Islam dan perjuangan Islam, serta tidak gopoh untuk menang dengan kemenangan segera tanpa mengira untung atau rugi kepada perjuangan islam…

Untuk kalian semua, saya doakan teruskanlah perjalanan, mudah-mudahan dengan mendapat keberkatan daripada Allah.

Zakaria Ismail
AJK PAS MARANG

Hantar Komen Anda