Meriahkah Eid al-Fitr Bila Mengenang Gaza?

hiburan rayaTahun lepas Ramadhan dan Eid al-Fitr disambut dengan hiba setelah tragedi Rabiatul Adawiyah tercetus di Mesir. Selepas setahun, penzalim disebalik tragedi itu menjadi Presiden Mesir melalui proses pilihanraya sangat tempang, yang sebelumnya penuh dengan peristiwa tragis buat rakyat Mesir. Selepas Mesir dikuasai oleh para penzalim, musuh nombor satu umat Islam, negara haram Israel membelasah Gaza. Sudahlah Gaza ditindas lama sebelum itu melalui pelbagai aspek, kini perang, bahkan penghapusan etnik oleh regim Zionis memasuki hari ke 18 saat artikel ini ditulis.

Sekali lagi Eid al-Fitr disambut dengan hiba dan terharu tahun ini akibat tragedi malang menimpa Gaza. Itupun kalau kita sebagai umat Islam ada hati perut, ada taqwa hasil tarbiah Ramadhan, ada sensitiviti terhadap umat Islam lain. Kalau kita tidak punya semua itu, maka akhirnya lagu raya yang sudah sekian lama tetap akan didendangkan, hiburan melalaikan akan menjadi hidangan, tarian, muzik dan maksiat atas nama seni juga yang jadi pilihan. Jangan peduli Gaza! Persetankan hal orang lain! Biar mereka yang kena, asal kita tidak kena.

Itukah sikap umat Islam yang diasuh dari Ramadhan? Justeru, saya mencadangkan supaya media utama dan media lain tidak menyiarkan bentuk ‘hiburan bergembira’ menyalahi syarak sempena Eid al-Fitr (dan itulah yang sebenarnya ) seolah-olah kita tidak punya sensitiviti terhadap penderitaan umat Islam Gaza. Demikian juga program rumah terbuka sempena Eid al-Fitr. Biarlah ia dibuat dengan sederhana dengan diambil peluang pengisiannya mengenai derita umat Islam Gaza.

Wajarkah kita gembira di saat mereka berduka?

Patutkah kita gelak ketawa ketika mereka sedih merana?

Baju raya kita berpasang-pasang tetapi baju mereka dibasahi darah kerana peluru senapang

Langsir rumah kita baharu, cantik sekali tetapi rumah mereka menyembah bumi

Kasut raya anak-anak kita pelbagai warna tetapi kaki anak mereka hilang akibat bom tentera celaka

Kuih raya kita beraneka rasa tetapi makanan asasi mereka tidak ada apa

Ucapan kita tahniah tetapi ucapan sesama mereka takziah

Raya kita disambut bunyi mercun tetapi raya mereka disambut bunyi bom

Anak kita riang bermain bunga api tetapi anak mereka meraung terkena senjata api

 

Cukuplah  hidup dengan hati yang keras. Jadilah manusia yang hatinya lembut, mudah terasa dengan derita orang lain.

Moga Allah memberi kemenangan kepada umat Islam di hari raya ini. Ibarat seperti kata Ismail Haniyyah dalam ucapannya beberapa hari lepas;: ‘Hari raya itu ada dua. Hari raya kemenangan menentang musuh Zionis, tetap pendirian dan hari raya Fitrah.’

Hantar Komen Anda