Kembara Ilmu 3: 2 tahun di Pondok Pak Teh, Pengkalan Hulu, Perak

Pak Teh Keroh, PerakPencarian ilmu diteruskan lagi. Selepas mendapat pengajian asas tatabahasa Arab di Pondok Siliau, Negeri Sembilan, saya mendengar khabar tentang sebuah pondok di Pengkalan Hulu, Perak. Dahulunya dikenali sebagai Keroh, Perak. Tuan gurunya ialah Ustaz Abdul Latif. Lebih dikenali dengan Pak Teh. Selepas solat istikharah, kecenderungannya ke sana.

Saya memasuki pondok itu pada 3 Jan 1989. Pondok ini mungkin kurang dikenali ramai, tetapi apabila isu pemberian tanah oleh kerajaan Pakatan Rakyat Perak di bawah MB Perak Dato’ Seri Nizar timbul, maka nama Pondok Pak Teh tiba-tiba menjadi tersohor pula. Boleh baca antaranya:

Pondok Pak Teh,    Lawatan ke Pondok Pak Teh

Pondok Pak Teh dapat 45 hektar tanah majukan pengajian pondok

Suasana jauh dari hingar bangar bandar, di Kampung Kuak Luar yang damai, penuh dengan bunyi cengkerik pada malamnya. Kabus malam dan awal pagi sangat menyejukkan. Mandi di tali air berdekatan. Tandas dari buluh cukup ringkas. Semua itu tidaklah menghalang dari memenuhkan masa sepanjang hari siang malam dengan ilmu. madrasah allatifiyyah

Tempoh 2 tahun (hingga bulan 11, 1990) di situ bukanlah lama. Ada yang sudah belajar, menetap dan berkahwin belasan dan puluhan tahun. Namun tempoh 2 tahun saya manfaatkan benar-benar.

Untuk menjimatkan masa, saya bersarapan dengan nasi lemak yang dibeli. Tengahari hanya dengan segenggam beras yang ditanak, sebiji telur yang digoreng dan kicap sebagai kuah. Tak ada ikan yang disiang. Tak ada kelapa yang diperah. Ketika itu saya anggap semua itu membazir masa. Makan malam juga ringkas.

Seawal lepas Subuh sehingga lewat malam, dalam tempoh itu, lebih 45 buah kitab dipelajari. Ini tidak bermakna kesemuanya dikhatamkan tetapi paling tidak ia dibuka, dibelek dan dipelajari.

Saya senaraikan nama kitab-kitab tersebut (yang dipelajari teksnya dalam bahasa Arab dan jawi):

Tafsir:   al-Jalalain, an-Nasafi, Taj at-Tafasir, al-Baidhawi (jawi)

Hadis:   al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, Bahr al-Mazi (jawi), Riadhus Salihin

Tauhid: Fath al-Majid, Tuhfah al-Murid, Aqidah an-Najin (jawi)

Fiqh: Fath al-Qarib, Fath al-Muin, I’anah at-Talibin, ‘Tahrir’, Mugni al-Muhtaj, Kifayah al-Akhyar, Mahalli, Fath al-Wahhab, Matla’ al-Badrain (jawi), Bughyah atTullab (jawi), Sabil al-Muhtadin (jawi), Kasyf al-Litham (jawi), Kifayah al-Muhtadi (jawi)

Usul fiqh: Al-Asybah wan Nazair, Jam’ al-Jawami’

Tasauf/ilmu akhlak: Minhaj al-Abidin, an-Nasaih adDiniyyah, Sair as-Salikin (jawi)

Sorof: ‘Kailani’, ‘al-Mirah’, Shazz al-Urf

Nahu: ‘Mutammimah’, ‘Sheikh Khalid’, ‘Ashmawi’, ‘Azhari’, Qatr anNada, syarah Ibn Aqil, ‘Taudhih’ (ada nama kitab yang dikenali dengan nama pengarang atau nama popular di samping nama asal)

Ulum Hadis: Mustalah al-Hadis karangan Sheikh Muhammad Alawi, Taqrirat asSaniyyah

Ilmu Tafsir: Atiyyah ar-Rahman

Mantiq: ‘Aisaghuji’

Waktu Bilangan kitab
Lepas solat Subuh (7-8 lebih) 4
10-12 tengahari 4 atau 5
Lepas solat Zohor (3-4 petang) 3
Lepas solat Asar (5-6 petang) 3
Lepas solat Maghrib 3
Lepas solat Isyak 2
10.30-12 malam 2

Beginilah lebihkurang jadual pengajian sepanjang berada di Pondok Pak Teh. Hampir semua kitab dalam pelbagai disiplin ilmu dipelajari dalam bahasa Arab. Penguasaan Nahu Sorof ketika di pondok Tuan Guru Haji Ali Haji Musa di N.Sembilan cukup banyak membantu untuk menguasai dengan cepat kitab-kitab yang dipelajari di Pondok Pak Teh ini, Alhamdulillah.

Selain Pak Teh, saya juga belajar dengan ‘kepala telaah’ (guru pembantu) kepada Pak Teh seperti Ustaz Kasim dan lain-lain. Ustaz Damis dari Langkawi (  di mana beliau sekarang?) yang belajar lama di Pattani banyak saya manfaatkan ilmunya terutama ilmu alat. Begitu juga Ustaz Dali.

Moga Allah mencucuri RAHMATNYA kepada arwah Tuan Hj Ali dan mengurniakan kesihatan dan istiqamah kepada Tuan Guru Haji Abdul Latif untuk terus berbakti.

2 tahun penuh dengan nostalgia suasana ilmu. Kemudian berfikir untuk menambah ilmu lagi dan mendalami lagi. Ke mana selepas itu?

Bersambung….

Komen (51)

  1. Ustaz Nik Nasri says:

    maaf, saya dah lama tinggalkan Pondok ini. Tiada contact

Hantar Komen Anda