Daging Korban Untuk Umat Islam Mangsa Korban

korban di syriaHari ini 19 Zulkaedah 1433H (5 Okt 2012). Masih sempat untuk beri pandangan mengenai ibadat korban yang disunatkan.

Saban tahun masjid, surau, karyah yang aktif dapat menyembelih berpuluh ekor binatang ternak. Kekadang kerana terlampau banyak daging, sedangkan mereka yang benar-benar memerlukan pula tidak sebanyak daging, lalu peti sejuk di rumah dipenuhi dengan daging korban. Setiap hari hanya memasak daging untuk tempoh lebih seminggu.

Apa kata kalau korban itu dibuat dalam bentuk yang lebih global? Walaupun fuqaha ada membincangkan tentang sembelihan korban dan agihan daging, masih tidak terkeluar dari perintah syarak dan beberapa pandangan ulama tentang kaedah agihan daging yang boleh memberi manfaat terbesar kepada ummah.

(Mazhab Hanafi-makruh pindahkan daging korban melainkan kepada kaum kerabat atau mereka yang lebih berhajat. Maliki-Tak harus pindah ke tempat perjalanan Qasar dan lebih melainkan penduduk di situ sangat berhajat. Hanbali seperti Maliki. Mazhab Shafie-tak harus. Rujukan: Al-Fiqh al-Islami, j 3 ms633, 634)

Ketika saya belajar di Jordan, ketika itu Iraq diserang Amerika dalam Perang Teluk. Rakyat Iraq menderita. Di tahun itu, aqiqah anak sulung saya dibuat di Iraq. Untuk anak lain, ada yang dibuat aqiqahnya di Kemboja. Beberapa tahun lepas aqiqah di selatan Mindanao dan korban di Sudan di bawah Yayasan Amal Malaysia.

Sekarang nampaknya umat Islam Syria dan Rohingya menjadi mangsa penguasa zalim. Umat Islam Palestin dan beberapa tempat lain yang sudah lama dan ‘biasa’ dengan penindasan juga ada.

Ada beberapa NGO yang cukup aktif dengan aktiviti korban seperti ini. Saya bukanlah wakil mereka, tetapi saya rasa rakyat Malaysia yang bertuah ini, yang sentiasa boleh mengecap daging dalam pelbagai hidangan sempena pelbagai majlis keraian, patut menyokong kuat dengan membuat korban/aqiqah melalui badan-badan tersebut. Sebagai contoh Yayasan Amal Malaysia, EZ Qurban, Muslim Aid Malaysia, Syria Care dan beberapa NGO lain.

Yang penting biarlah daging korban itu sampai dahulu kepada mereka yang benar-benar berhajat, mereka yang menjadi mangsa ‘korban’ perang, gempabumi, kebuluran, banjir, bukan hanya menjadi ibadat ritual sempena Hari Raya Haji.

Komen (3)

  1. Nik Kamaruddin says:

    Saya amat bersetuju supaya bilangan binatang korban sesuatu kariah atau masjid di bajet menurut sasaran agihan daging korban setempat dan tidak berlebihan untuk di “exchange” sesama yang berada. Walau macam mana pun, janganlah semua bekorban di luar kawasan pulak. Korban perlu di teruskan di kariah masing-masing sebagai penerusan syiar.

    Tahun ini saya pun akan berkorban dan berakikah di Kemboja dan Selatan Thai, Insyaallah. Kat KL ni kebanyakan Masjid & Kariah dah banyak ekor yang akan tumbang. Biasanya cukup untuk sasaran setempat.

  2. irwan says:

    NIAT ASAL ADALAH BAGUS UTK TOLONG SEDARA SEISLAM DI LUAR NEGARA. NAMUN ADA BEBERAPA KEMUSYKILAN YG INGIN SAYA ZAHIRKAN
    1) Kirim korban di luar negara tiada dalam sunnah
    2) Tidak dapat memberi penghayatan sebenar berkenaan peristiwa nabi Ibrahim disuruh sembelih anaknya nabi Zakaria
    3) Menjauhi konsep bergotong royong dan semangat tolong menolong antara keluarga dan masyarakat sejiran.
    4) Tidak dapat mendidik umat Islam tatacara melakukan korban dengan betul dan cara penyembelihannya juga.
    5) Ramai lagi orang Islam / fakir yang hidup dalam kedaifan. Elok juga sebelum hantar ke luar negara, cari dulu dalam negara.

  3. Ustaz Nik Nasri says:

    -agihan daging korban berdasarkan pandangan mazhab telah disebut dalam artikel.
    -anak Nabi Ibrahim ialah Ismail, bukannya Zakaria. Penghayatan banyak bentuk.
    -Gotong-royong dan semangat kejiranan masih boleh dibuat melalui korban. Bukan semua daging korban diagih atau disembelih di tempat lain. Penyelarasan perlu dibuat.
    -Fahami artikel dengan baik-masalah faqir miskin.

Hantar Komen Anda