SPR : Jangan pasang bendera besar BN di punggung anda!

corruption

Artikel ini pernah tersiar lama sebelum ini. Ini kali keluar lagi kerana ia nasihat yang sangat penting. Di antara agensi kerajaan yang penting di saat hampirnya PRU 13 ini ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).  SPR bukan sahaja mengendalikan proses pilihanraya, bahkan ia juga akan memberi kesan untuk sepenggal berikutnya terhadap kewujudan kerajaan baharu selepas setiap pilihanraya. Kerajaan baharu memandu rakyat dan negara ke arah matlamat yang tertentu. Kalau kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihanraya itu kerajaan yang mahukan Islam, keadilan, ketelusan dan beramanah, maka itulah corak negara. Kalau jahat kerajaan yang ditubuhkan, jahatlah ia terhadap rakyat dan negara untuk sepenggal.

Justeru, amanah mengendalikan urusan daftar pemilih, pembuangan undi, perjalanan pilihanraya, membentuk kerajaan dan menerajui negara bukanlah ‘suka-suka’ atau ‘main-main’. Ia adalah satu agenda cukup penting, yang akan memastikan sama ada negara itu mendapat keredhaan Allah, keberkatan hidup atau sebaliknya.

Dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, pilihanraya yang menjadi salah satu unsur penting demokrasi mesti dilaksanakan dengan telus, jujur dan BERSIH. Sebarang penipuan, ketidakadilan, keraguan oleh mana-mana pihak terhadap sistem pilihanraya dengan sebab ketidakcekapan dan pengkhianatan pihak SPR mengendalikan pilihanraya, sehingga menyebabkan tertubuhnya sebuah kerajaan HARAM di atas nama demokrasi, bukan sahaja menjadikan parti-parti politik tidak puashati yang berpanjangan, bahkan ia mengundang kedurjanaan dan ketidaktenteraman kepada negara tersebut.

Dalam konteks di Malaysia, pengerusi SPR, Tan Sri Aziz memikul amanah besar ini. Bukan sahaja amanah kerajaan, tetapi amanah dari Allah supaya keadilan ditegakkan dalam proses pilihanraya ini. Isu terbaharu, undi awal, calitan dakwat dan dakwaan pengundi dari Malaysia Timur ke Semenanjung. Isu lama yang belum diselesaikan dan masih menjadi hambatan antaranya ialah daftar pemilih yang tidak dibersihkan dan isu-isu lain pilihanraya.

Atas dasar nasihat menasihati dalam Islam, saya ingin mengingatkan peneraju SPR dengan maksud sebuah hadis Nabi saw: ‘Ketahuilah! Sesungguhnya akan ditegakkan bendera bagi setiap mereka yang khianat pada hari Kiamat menurut kadar pengkhianatannya. Dan tidak ada khianat lebih besar dari pengkhianatan pemimpin bagi orang ramai. Bendera itu ditegakkan di punggungnya…’ Hadis riwayat at-Tirmizi

Mengendalikan PRU13 akan datang cukup penting. UMNO sudah membusuk hingga ke usus. BN juga berkecamuk. Harta negara sudah lama difaraidkan sesama pemimpin UMNO/BN. PR sedang bersedia mengambil-alih pemerintahan Malaysia. Sama ada ia dikendalikan dengan amanah atau tidak, Allah sahaja lebih mengetahui.  Peneraju SPR mesti membuktikan bahawa PRU 13 nanti dikendalikan dengan cukup amanah, jujur, telus dan BERSIH. Dan amanah ini tetap akan ditanya di hadapan Allah nanti.

Tetapi jika tidak ditunaikan amanah ini, hanya kerana menjaga pangkat, jawatan, kedudukan dan wang ringgit sahaja sehingga sanggup menggadaikan amanah besar membentuk kerajaan yang bersih, maka ini bermakna Tan Sri-Tan Sri dan Dato-Dato sedang menyediakan bendera besar BN di punggung masing-masing  di hadapan Allah Raja segala raja di Padang Mahsyar nanti.

Pilihanraya, pilihanraya juga. Kuasa yang diperolehi secara haram tak lama dan tak ke mana. Dosa pahala mesti jadi asas berkata dan bekerja. Kalau dihumbankan dalam neraka kerana KHIANATI amanah, maka celaka besarlah namanya.

Hantar Komen Anda