11 Kata-Kata Hikmah Imam Al-Muhasibi

RisalatAlMustarshidinImam al-Muhasibi ialah Abu Abdillah, al-Harith bin Asad al-Muhasibi al-Basri. Lahir di Basrah sekitar tahun 165H. Meninggal di Baghdad pada tahun 243H. Dikenali sebagai al-muhasibi kerana banyak bermuhasabah tentang dirinya. Beliau meriwayatkan hadith daripada Yazid bin Harun dan ulama seangkatan dengannya. Pernah belajar dengan Imam as-Shafie. Beliau seorang ahli ibadat yang tekun, sufi yang zuhud, faqeh dan ulama usul serta ilmu kalam. Pendakwah yang mampu mengalirkan airmata para pendengarnya. (Bukan yang menyebabkan pendengar ketawa berdekah-dekah). Ulama hadith yang fasih berbicara. Bercakap perkara yang baik dan memberi nasihat sehingga pendengar terkesan dengan ucapannya. Karangan beliau mencecah 200 buah. Imam Ahmad bin Hanbal pernah menghadiri majlis ilmunya sehingga menangis dan pengsan kerana kesan ucapannya yang menusuk qalbu. Antara kata-kata hikmahnya:

1. Setiap sesuatu ada perkara paling bernilai padanya. Perkara paling bernilai bagi manusia ialah akalnya. Perkara paling bernilai pada akal ialah taufiq yang diberi kepada akal itu.

2. Sebaik-baik umat ini ialah orang yang tidak meninggalkan dunia ini kerana mencari akhirat, dan tidak juga meninggalkan akhiratnya untuk mencari keuntungan dunia.

3. Akhlak yang baik ialah menahan diri daripada melakukan penganiayaan, kurang marahnya, ceria wajahnya, dan elok tutur katanya.

4. Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah, sesungguhnya dia mengundang kehilangannya.

5. Semua orang yang berzuhud mengikut kadar ilmunya. Ilmunya menurut nilai akalnya. Akalnya pula menurut nilai kekuatan imannya.

6. Orang yang zalim akan menyesal walaupun dipuji oleh manusia. Orang yang dizalimi akan selamat walaupun dicela oleh manusia. Orang yang sentiasa merasa cukup adalah orang yang sebenarnya kaya walaupun dia berada dalam kebuluran. Orang yang tamak adalah miskin walaupun dia berada dalam kekenyangan.

7. Sesiapa yang membetulkan hatinya dengan muraqabah dan keikhlasan, Allah akan mengindahkan zahirnya dengan mujahadah dan mengikut sunnah.

8. Seorang hamba yang soleh akan Allah jadikan kesolehannya pada orang lain. Seorang hamba yang rosak, Allah akan jadikan kerosakannya menjangkiti orang lain.

9. Sifat perhambaan yang sebenar ialah engkau tidak melihat kekuasaan pada dirimu, dan engkau mengetahui bahawa engkau tidak berupaya memberi mudarat atau manfaat untuk dirimu.

10. Ikhlas yang sebenar ialah mengeluarkan (membuang) seluruh makhluk dalam urusan ketuhananmu, dan dirimu sendiri adalah makhluk yang pertama yang dikeluarkan.

11. Sesiapa yang bersungguh-sungguh memelihara batinnya, Allah akan mewariskan kepadanya perlakuan yang baik pada zahirnya, dan sesiapa yang mengindahkan urusannya dengan Allah pada perkara yang zahir bersama dengan kesungguhannya menjaga batinnya, maka Allah akan mewariskan kepadanya hidayah.

Komen (2)

  1. jai says:

    Alhamdulillah..terima kasih ustaz..banyak memberi pedoman. Ana mohon share…mohon izin. Alhamdulillah

  2. Ustaz Nik Nasri says:

    silakan. Jangan lupa linkkan kepada sumbernya yang asal di sini

Hantar Komen Anda