Sambutan Tahun Baharu 2013: Kita Bergembira Di Saat Orang Lain Menderita?

asad kill our childrenSeperti kebiasaan JAHILIYAH tahun-tahun sebelumnya apabila menjelang tahun baharu, pelbagai acara sambutan dibuat. Nyanyian yang melalaikan memang tak tinggal punya. Gelak ketawa, riang ria, teriak suara sambil tangan memegang botol arak, khalwat dan zina menjadi sebahagian elemen sambutan tahun baharu yang tidak diwar-warkan. Kita meraikan kedatangan tahun baharu 2013 seolah-olah hidup kita sentiasa diredhai Allah. Kita ketawa seolah-olah tiada orang lain yang berduka. Kita gembira seakan-akan tiada orang lain yang menderita. Kita membuat countdown membilang jarum jam seolah-olah tiada orang lain yang juga membilang jarum jam berapa lama lagi harus menderita di bawah sebuah sistem yang zalim.

Ya! kita menyambut tahun baharu sedemikian rupa kerana hati kita telah lama mati sebenarnya. Tiada rasa sensitif nasib umat Islam. Tiada rasa benci kepada kezaliman dan kekufuran. Tiada rasa kasihan belas kepada mereka yang menderita di bawah pemerintah yang memeras. Yang penting aku boleh bergembira semahu-mahunya. Hidup hanya bergembira untuk diri sendiri sahaja. Persetankan hidup orang lain.

Di dalam negeri, di sesetengah tempat, masih ada yang bersedih selepas banjir yang melanda. Adakah keadaan sudah pulih? Belum tentu. Di luarnegara, Syria bermandi darah saban hari. Sekarang musim sejuk. Ramai kanak-kanak yang mati akibat kesejukan dan kekurangan ubat. Di Iraq, barangkali ramai yang tidak tahu umat Islam Sunni disembelih. Banyak mayat dijumpai tanpa kepala. Kalau anda tidak takut, lihatlah klip video di dalam youtube. Justeru, masih mahu bergembira sakan?

Alhamdulillah, mujur juga ada beberapa NGO atau kerajaan yang insaf mengambil inisiatif mengambil pendekatan agama dan positif bagi mengisi ruang sambutan tahun baharu supaya tidak dilalailkan oleh arus JAHILIYAH moden itu. Tapi berapa ramai yang insaf dan punya hati yang hidup berbanding mereka yang lalai dan mati hatinya?

artikel berkaitan:

Bunga api, konsert untuk sambutan ambang 2013

Tahun 2012 bakal melabuhkan tirainya esok dan bagi mengalu-alukan kedatangan tahun baharu 2013 seperti lazimnya pelbagai acara diatur di seluruh negara bagi memeriahkan sambutan mengira detik 12 tengah malam.

Bagi warga ibu kota, beberapa lokasi terpilih bakal menyaksikan kemeriahan sambutan ambang tahun baharu seperti pertunjukan bunga api, konsert dan persembahan artis popular serta acara-acara menarik lain.

Dataran Merdeka pasti menjadi lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara apabila sambutan ambang tahun baharu diadakan serentak dengan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Kepelbagaian acara di Dataran Merdeka itu dimulakan dengan Larian Tahun Baru 1Malaysia pada awal pagi esok yang bakal menawarkan hadiah bernilai kira-kira RM51,000.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dijadual hadir pada majlis rumah terbuka Krismas sekitar 4.30 petang dan konsert ambang tahun baharu dijangka bermula pada 8.30 malam.

Dalam pada itu, Menara Kuala Lumpur antara mercu tarikan di ibu negara akan melanjutkan waktu operasinya pada 31 Dis sehingga 1 pagi bagi meraikan kedatangan tahun baru 2013, diserikan dengan kehadiran penyampai radio SinarFM iaitu Leya dan Zaidi Zainal.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporatnya Eliey Sahad dalam satu kenyataan berkata Menara Kuala Lumpur turut menawarkan pakej istimewa ke Pelantar Terbuka dan Pelantar Pemandangan dengan harga RM88 hingga RM249 seorang.

“Dengan pakej yang ditawarkan, pengunjung berpeluang menikmati keindahan bandaraya Kuala Lumpur di waktu siang dan menyaksikan percikan bunga api dari Pelantar Pemandangan yang berketinggian 276 meter dan Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter pada waktu malam,” katanya.    

Bagi memeriahkan sambutan, beberapa program hiburan turut dirancang untuk warga kota.

Mercu tanda negara KLCC akan mengadakan ‘New Year Countdown at KLCC’ – NYC@KLCC dengan tema ‘HEADL12NERS’ yang akan menyajikan pertunjukan ‘Lake Symphony Fountain’ dengan iringan bunyian dan cahaya yang menarik serta pertunjukan bunga api pada pukul 12 tengah malam.

Acara sambutan di kawasan KLCC dijadual bermula pukul 9 malam.

Stesen radio KLFM pula akan menganjurkan Konsert KL Aktif 2013 bertempat di Taman Tasik Titiwangsa. 

Konsert yang turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bakal berlangsung bermula 8.30 malam dan artis yang akan membuat persembahan ialah VIP, Mojo, Khalifah, Hyper Act, Klangit, Kool, Shades, Nico, Elyana dan ramai lagi.

Di pusat pentadbiran negara Putrajaya, sambutan ambang tahun baharu akan diadakan di Dataran Putrajaya bermula pukul 5 petang dengan kerjasama Kumpulan Ambank dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH).

Menurut satu kenyataan Perbadanan Putrajaya, antara acara yang bakal dianjur adalah pertandingan futsal, pertunjukan ‘auto-show’, pertunjukan pancaragam, pertunjukan kawad patung seterusnya acara kemuncak iaitu konsert ambang serta pertunjukan bunga api akan dilancarkan tepat detik 12 malam.

Konsert ambang tajaan Kumpulan Ambank itu akan dibarisi artis terkenal seperti M. Nasir, Jamal Abdillah, Hattan, Mizz Nina, Wings dan Kumpulan Hujan.

Di Selangor pula, Karnival Sayangi Selangor anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor di I-City, Seksyen 7, Shah Alam telah bermula sejak semalam sehingga Selasa ini bersempena sambutan tahun baharu dan dijangka 500,000 pengunjung menghadiri karnival empat hari itu.

Pelbagai aktiviti berkonsepkan santai bersama keluarga akan dijalankan termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan memasak, pertandingan bintang kecil dan aktiviti air.

Sementara itu, program keagamaan turut dirancang bagi sambutan tahun baru 2013.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pusat Bimbingan Puteri Raudatus Sakinah akan menganjurkan Program Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati buat kali ke-3 esok dan 1 Januari 2013 bertempat di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. 

Menurut laman web Jakim, program yang akan berlangsung dua hari ini bertemakan “Jiwa Kuat Generasi Hebat” adalah satu program alternatif kepada remaja-remaja untuk menyambut ambang tahun baru 2013.

Program itu menyasarkan seramai 2,400 peserta.

Beberapa pengisian program bakal menarik minat remaja belia termasuk Bicara Cinta Anak Muda yang bertajuk ‘Destinasi Cinta’ akan dikendalikan Fedtri Yahya membariskan beberapa panel ternama antaranya Wardina Safiyyah, Heliza Helmi dan Mohd Nor Mamat.

Peserta dan fasilitator bakal disajikan dengan slot-slot menarik seperti hiburan yang mendidik jiwa daripada kumpulan anak muda Edcoustic, In-Team, Unic dan Hafiz Hamidun.

Selain itu, menjelang jam 12 tengah malam 31 Disember, satu laungan ikrar akan dibacakan oleh semua peserta bagi menzahirkan mereka adalah remaja dan belia yang bijak menjauhi zina serta berupaya menjaga jati diri bersempena sambutan tahun baru.

Di Melaka, sambutan tahun baru 2013 disambut penuh kesyukuran dalam satu program yang akan diadakan di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, esok.

JAIM dalam satu kenyataan berkata, program keagamaan anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu bakal disertai kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada penjawat awam, belia, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam. 

Majlis akan dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah diketuai Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Rashid Redza Md Saleh dengan bacaan Yassin dan Tahlil.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka menghadiri majlis itu.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, beberapa program karnival diadakan bagi menyambut tahun 2013.

Menurut laman web Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) antara progran yang diadakan New Year Countdown@Port Dickson yang telah bermula pada 21 Disember lalu sehingga esok berlokasi di Pantai Cahaya Negeri.

Selain itu, satu Karnival Santai di Ambang Tahun Baru 2012/2013 juga diadakan pada 29 Disember lalu sehingga 1 Januari 2013 di Dataran Seri Kemang.

MPPD pula menganjurkan satu Kejohanan Bola Sepak Pantai Sepanjang Malam 1Malaysia, esok yang berlangsung di Pantai Saujana, Port Dickson.

Di Pulau Pinang, antara sambutan yang diadakan ialah Kejohanan Futsal Pulau Pinang Golden dan Golden K-Pop Dance Challenge diadakan di Padang Esplanade bermula jam 11 pagi hingga lewat malam.

Acara ini turut dimeriahkan dengan konsert ‘live’ bintang terkenal tanah air seperti Amy Search, Azlan & The Type Writer, Drama Band dan Tedd Chan.

Bernama

Hantar Komen Anda