6 Tahun Sheikh Nuh Kembali Ke Rahmatullah

Sheikh Nuh al-QudhaPada 13 Muharram 1438H, genap 6 tahun Sheikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudha, mantan Mufti Jordan yang juga merupakan sheikh dan guru saya, kembali ke rahmatullah iaitu pada pagi Ahad 13 Muharram 1432 (19 Dis 2010) dalam usia 71 tahun  (74 tahun Hijrah) selepas menjalani pembedahan dan rawatan di Austria selama 3 bulan dan kembali ke Jordan tetapi masih dirawat di hospital di Amman.

Sabtu malam Ahad sebelum hari kematian itu saya bermimpi sedang bermain satu permainan. Tiba-tiba air besar seperti Tsunami mengatasi bukit muncul. Saya bersyahadah dan azan. Air itu menerpa ke bawah saya tetapi tidak mengenai saya. Saya terjaga. Apa tafsir mimpi itu? Permainan tidur, syaitan atau apa? Ada kaitan dengan kematian itu? Wallahua’lam.

Pengalaman belajar, menadah kitab dan adab dengan beliau masih segar dalam ingatan, walaupun sudah belasan tahun berpisah dengannya. Pengalaman itu saya abadikan dalam beberapa siri kembara ilmu yang boleh diakses di portal ini.

mukhtasar-mufidAlhamdulillah, kitab karangan sheikh Nuh iaitu Al-Mukhtasar al-Mufid fi Syarh Jauharah at-Tauhid yang juga merupakan hasil pembelajaran saya dengannya yang dirakam dalam kaset asalnya kini dalam proses menyiapkan terjemahan jilid kedua pula. Jilid pertama sedang dijadikan bahan kuliah, Alhamdulillah. (Perkara ini saya huraikan dalam Kembara Ilmu bersama Sheikh Nuh)

In-sya-Allah kitab terjemahan ini dalam jilid kedua sekitar lebih 200 mukasurat ini dapat diterbitkan seperti jilid pertama.

Moga sempat berada di pasaran dalam masa terdekat, dengan izin Allah.

.

.

Komen (2)

  1. Shafiq Ayman says:

    Ustaz,

    Mudah mudahan usaha ustaz dapat disempurnakan. Saya harap saya akan dapat memiliki kitab terjemahan ustaz ini. Semoga usaha ustaz & Shaykh Nuh Ali Salman ini diberkati

  2. Ustaz Nik Nasri says:

    InsyaAllah, dalam proses sekarang. Mudah-mudahan disempurnakan oleh Allah

Hantar Komen Anda