Khutbah: 3 Kisah, 3 Perumpamaan, 3 Penutup Dari Surah Al-Kahfi

alkahfiJumaat 14 Dis 2012 (30 Muharram 1434H) saya berkhutbah Jumaat di Masjid Pinang Merah, Paka sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat/PAS Ganti Umno 6.0 di Paka. Saya fokuskan kepada aspek tarbiyyah ruhiyyah fardiyyah (tarbiah rohani secara peribadi) sebagai bekalan, amalan dan benteng buat mereka yang memperjuangkan Islam. Perjuangan menegakkan Islam mesti berteraskan iman. Iman mesti disuburkan dan direfreshkan dari semasa ke semasa. ‘Jaddidu imanakum‘ (Perbaharui iman kamu). Program PAS Ganti Umno 6.0/Himpunan Kebangkitan Rakyat adalah salah satu program bagi menggerakkan jentera parti, pemberi semangat dan motivasi serta penggerun musuh politik. Al-Quran pula adalah pemberi motivasi hakiki bagi setiap pekerja gerakan Islam. Justeru, disunatkan pada setiap Jumaat membaca surah al-Kahfi. Saya fokuskan kepada 3 kisah, 3 perumpamaan dan 3 penutup dari surah al-Kahfi.

Audio: bbrp intisari surah alkahfi (237)

3 kisah ialah kisah AshabulKahfi, Nabi Musa bersama Khidhir dan kisah Zulqarnain. AshabulKahfi mengingatkan tentang beberapa orang pemuda yang beriman dan mempertahankan iman walaupun terpaksa menyelamatkan diri jauh ke dalam gua. Kisah Nabi Musa pula mengingatkan agar tawadhuk dengan ilmu dan tidak menganggap diri tahu semuanya. Kisah Zulqarnain pula mengingatkan tentang penguasa yang baik dan adil, menggunakan kekuasaannya membantu rakyat dan memelihara dari kezaliman kaum.

Di celah 3 kisah ada 3 perumpamaan. Perumpamaan ashabuljannatain (2 tuanpunya kebun). Seorang yang kaya berbangga dengan kekayaannya tetapi kufur dan seorang lagi miskin tetapi berbangga dengan imannya. Perumpamaan kedua mengenai hidup di dunia yang fana dan akan binasa serta beberapa gambaran kiamat (bukit beranjak dari tempat, himpun manusia di Mahsyar dan suratan amalan yang membimbangkan manusia). Perumpamaan ketiga mengenai Iblis dan sombongnya Iblis dari sujud kepada Nabi Adam. Sikap takabbur yang hanya membodohkan dan membinasakan diri sendiri sahaja.

Surah al-Kahfi ditutup dengan 3 penutup:

1-Sia-sia amalan orang kafir dan tiada pahala di Akhirat

2-khabar gembira buat orang mukmin yang beriman dan beramal soleh dengan janji syurga

3-ilmu Allah yang tiada batas sempadan.

Hantar Komen Anda