PAS Perlu ‘Fikrah Tulen’ Utk Kesinambungan Perjuangan

TGHH dan TGNAPAS akan mengadakan muktamar tahunannya pada 14 November 2012 ini. Pilihanraya Umum ke 13 sehingga kini masih lagi menjadi teka-teki buat semua. Bagi BN, ia bukan setakat teka-teki bahkan insyaAllah menjadi igauan panjang tentang nasib BN selepas PRU 13 nanti. Jika ditaqdirkan Pakatan Rakyat menang dan menguasai Malaysia, maka ia satu lagi sejarah baharu buat PAS dan Pakatan Rakyat.  Ia juga akan menjadi satu cabaran buat PAS dalam kondisi politik yang lebih luas sepak terajangnya.

PAS adalah gerakan dakwah dan politik. Perjuangannya adalah mata rantai dari perjuangan Islam sebelumnya.  Justeru, sekiranya ia menjadi pemerintah sekalipun, sifat asalnya sebagai gerakan dakwah dan politik tidak pernah dan tidak boleh dilarut dan dicairkan dalam suasana baharu hanya semata-mata ia sudah memerintah dan menjadi kerajaan. Cuma pendekatan berbeza mengikut suasana. Pepatah Arab menyebut ‘li kulli maqamin maqal’ (Bagi setiap keadaan dan suasana itu ada penjelasannya tertentu).

Apabila disebut sifat asal gerakan, maka ia adalah prinsip perjuangan. Sementara mereka yang menjulang dan membawa gerakan itu pula, mestilah dari kalangan mereka yang telah memahami benar-benar apa yang dibawa. Bagi memahami perkara ini, seharusnya mereka telah melalui proses-proses tertentu dalam gerakan itu sendiri. Dengan lain perkataan yang lebih direct dan mudah, mereka ini mesti melalui proses tarbiyyah yang dikendalikan oleh gerakan PAS, yakin dengan tarbiyyah  yang diterima, wala’ kepada jemaah yang disertai dan bersedia menjadi pejuang sejati dalam PAS.

Di dalam PAS, latarbelakang pendidikan ahlinya pelbagai. Kepelbagaian pendidikan formal atau tidak formal tidak menjadi masalah jika tarbiyyah PAS diterima secara betul. Aktiviti tarbiyyah formal atau tidak formal. Usrah, tamrin, mukhayyam, penglibatan dalam pilihanraya, demonstrasi aman dan lain-lain bermaksud membentuk fikrah dan jatidiri sebagai seorang ahli PAS sebenar. Mereka yang sedari awal menerima tarbiyyah PAS secara formal ini di pelbagai peringkat umur dan persekolahan hingga ke IPT atau yang hanya tinggal di kampung insyaAllah mempunyai fikrah gerakan yang jelas.

Mungkin istilah ‘fikrah tulen’ itu agak subjektif. Bentuk yang bagaimana? Apa maksudnya? Bagi saya yang mengutarakan istilah ‘fikrah tulen’ ini, ia bermakna bahawa ahli, pendokong PAS yang telah melalui proses tarbiyyah tertentu menurut ‘skima’ formal atau tidak sehingga ia sebati dalam diri dan membawa perjuangan PAS ini sebagaimana yang sepatut dan semestinya. Mungkin juga berlaku pendekatan-pendekatan yang berbeza hasil dari pemahaman yang berbeza terhadap situasi berbeza, namun ia tidaklah mengutarakan pandangan-pandangan yang pelik kepada gerakan itu sendiri sehingga kelihatan bahawa mereka yang mengutarakan pandangan  pelik ini sebenarnya tidak biasa dan tidak mendokong fikrah yang jelas dalam gerakan ini menurut ‘kacamata’ yang sebenar.

PAS sebenarnya sebuah gerakan dakwah dan politik yang hebat. Ia berjaya mengharungi liku-liku perjuangan untuk tempoh masa yang agak lama dengan tribulasi dan ujian-ujian yang tidak mudah sepanjang perjuangannya. Ia juga sebuah gerakan yang terbuka sifatnya. Sesiapa boleh menyertainya. Prinsip tidak berubah. Strategi dan pendekatan sahaja boleh berubah. Kalau ia pernah dilihat sebagai ortodok seperti pandangan seorang pemimpin Umno yang menyertai PAS sekarang, maka ia adalah persepsi beliau. Pemimpin PAS yang ada sekarang ini juga yang telah ada sebelumnya. Justeru, mengapa ia harus menjadi tajuk besar dalam lidah rasmi seperti Harakahdaily?

Keterbukaan PAS menerima sesiapa yang mahu menyertainya menyebabkan tidak kurang juga dari kalangan mereka yang pernah menerima tarbiyyah gerakan dakwah selain PAS. Dari segi adab berjemaah, sepatutnya apabila telah menyertai PAS, wala’ mesti kepada Allah dan rasul dan kemudian kepada pemimpin dan jemaah yang disertai sekarang. Tulisan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengenai jatidiri ahli PAS dalam harakah cetak sangat disokong. Itu sepatutnya yang berlaku. Demikian juga aliran-aliran janggal dan pandangan-pandangan pelik dari ‘fikrah tulen’ PAS mesti dijauhi.

Pandangan saya ialah jika PAS mahu perjuangannya terus relevan, segar dan kesinambungannya ada, ‘fikrah tulen’ dari kalangan pemimpin PAS yang telah melalui tarbiyyah asal ini mesti didahulukan dan bersedia mengambil pelbagai pendekatan dakwah dan politik semasa tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti yang sudah tergaris dan digariskan dalam Perlembagaan PAS itu sendiri.

Hantar Komen Anda