Kondusif Dlm Melaksanakan Hudud

hududHukum hudud banyak dibicarakan dalam pelbagai media. Di sini saya sertakan satu artikel yang disediakan oleh Kumpulan Penyelidikan Ulamak Pelapis, Dewan Ulama PAS Pusat yang diketuai oleh ustaz Ahmad Mouhyideen Hasyim dengan tajuk: SEJAUH MANA SUASANA KONDUSIF DIPERLUKAN DALAM PERLAKSANAAN HUDUD.

Moga artikel ini dapat memberi kefahaman yang lebih dan meningkatkan keyakinan terhadap hukum Allah:

Isu perlaksanaan Hudud di Malaysia timbul kembali. Pelbagai pandangan dikemukakan dalam isu ini termasuklah keperluan suasana kondusif untuk melaksanakan Hudud. Ia telah dijadikan sesetengah pihak sebagai syarat perlaksanaan hukuman tersebut. Ia tidak boleh atau hendaklah ditangguhkan perlaksanaannya jika suasana tersebut tidak wujud.

Hudud sebagai Undang-Undang Negara:


Perlu difahami bahawa usaha yang dilakukan oleh PAS hari ini untuk melaksanakan hukuman Hudud adalah untuk menjadikannya sebagai undang-undang (taqnin). Ada pun selepas ia diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, kesalahan yang dilakukan akan diadili oleh hakim untuk melihat sejauh mana syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang yang diluluskan tersebut dipenuhi atau tidak.

Ramai yang meletakkan syarat kondusif untuk melaksanakan Hudud. Mereka lupa bahawa syarat tersebut tidak boleh menafikan hasrat PAS untuk menjadikan Hudud sebagai undang-undang. Syarat tersebut hanya boleh menafikan hukuman dijatuhkan apabila hakim membicarakan kes yang berkaitan setelah Hudud menjadi undang-undang, bukannya menafikan usaha menjadikannya sebagai undang-undang yang menjadi kewajipan terhadap orang Islam.

Mereka menggunakan hujjah tindakan Saidina Umar yang tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada pencuri pada tahun kelaparan (‘am al-maja’ah). Saidina Umar sebenarnya bukan tidak menjadikan Hudud sebagai undang-undang tetapi tidak menjatuhkan hukuman tersebut kerana tidak cukup syarat di bawah undang-undang Hudud yang sedia ada apabila berlakunya peristiwa tersebut. Hudud ketika itu telah pun menjadi undang-undang negara.

Justeru, tidak boleh dijadikan hujjah untuk menafikan Hudud dijadikan undang-undang dalam negara kita dengan merujuk kepada tindakan Saidina Umar r.a. tersebut.

Syarat kondusif yang dimaksudkan ialah tidak berlakunya syubhat (keraguan) dalam  kes yang didakwa di mahkamah di bawah undang-undang Hudud. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: Ditolak Hudud dengan sebab keraguan. [Riwayat Ibnu 'Adi]

Syubhat yang berlaku di zaman Saidina Umar sehingga beliau tidak menjatuhkan hukuman potong tangan ialah kecurian tersebut mungkin kerana dhorurat kelaparan yang membawa kepada seseorang mencuri. Orang yang mencuri ketika tahun kelaparan tidak disifatkan mencuri kerana dia melihat bahawa dirinya mempunyai hak terhadap apa yang diambil. Ada pun curi adalah apabila seseorang mengambil bukan haknya secara bersembunyi. (Lihat Dr. Al-Qaradhawi, As-Siasah As-Syari’yyah, 203).

Suasana yang tidak kondusif ini (suasana kelaparan) boleh dijadikan hujjah untuk tidak dijatuhkan hukuman kerat tangan di bawah hukuman Hudud yang telah menjadi undang-undang, bukannya hujjah untuk menafikan usaha menjadikan Hudud sebagai undang-undang negara.

Begitu juga jika terdapat kajian yang menunjukkan bahawa selepas dua kurun kewafatan Nabi s.a.w., Hudud tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim, begitu juga sejak zaman Abbasiyah tidak ada penekanan perlaksanaan hudud dan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan Hudud, semua kajian ini tidak menggambarkan bahawa Hudud tidak dijadikan undang-undang kerana ia mungkin tidak dilaksanakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh Islam untuk hakim menjatuhkan hukuman terhadap pesalah di bawah undang-undang Hudud.

Kondusif dan Maqasid As-Syariah:

Terdapat juga sebahagian yang berpandangan bahawa kondusif ialah suasana di mana apabila hukuman Hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan iaitu tertegaknya keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri.

Contoh yang dibawa ialah dalam kes mencuri. Pada pandangan mereka, Tujuan Islam bukan ingin memastikan tangan pencuri itu putus, tetapi yang hendak dicapai ialah maksud keadilan, pencegahan dan pemeliharaan harta masyarakat di sebalik hukuman tersebut. Kaedahnya ditetapkan iaitu potong tangan. Maka, pelaksana hukum tersebut hendaklah memastikan bahawa apabila hukuman tersebut dilaksanakan, maksudnya dapat dicapai. Jika dilaksanakan, sedangkan maksud itu tidak dicapai, ataupun berlaku sebaliknya, maka itu tidak menunai tanggungjawab nas. Sebaliknya, hanya menzahirkan ketidakadilan, atau kekejaman atas nama Islam.

Jelas bahawa pandangan ini mengaitkan isu kondusif dengan maqasid As-Syariah (matlamat hukum disyariatkan). Tidak dapat dinafikan bahawa tujuan perlaksanaan hukuman Hudud adalah untuk menjaga lima perkara yang dikenali sebagai Ad-Dhoruriyyat Al-Khamsah iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. (lihat As-Syatibi, Al-Muwafaqat, 2: 8)

Pun begitu, perlaksanaan hukuman tersebut tidak boleh bergantung perlaksanaannya semata-mata kepada berjaya atau tidak dalam mencapai tujuan pensyariatan (maqasid as-Syariah) untuk menjaga lima perkara tersebut.

Ini adalah kerana hukuman yang ditetapkan oleh Allah secara nas seperti hukuman Hudud wajib dilaksanakan dan perlu diyakini bahawa ia pasti mempunyai maslahat dan dapat dicapai. Tidak timbul ia kemungkinan tidak dapat dicapai kerana ia datang daripada Allah yang pasti dapat dicapai maslahatnya.

Bukan urusan kita untuk memikirkan berjaya atau tidak matlamat tetapi kita hanyalah dituntut melaksanakan hukuman tersebut dan seterusnya perlu yakin bahawa matlamat tersebut pasti akan tercapai.

Ia adalah umpama kewajipan solat yang mempunyai matlamat yang dinaskan oleh Allah untuk mencegah daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; (Al-Ankabut: 45)

Sembahyang yang diperintahkan oleh Allah mesti dilaksanakan walaupun mungkin pada pandangan mata kasar kita matlamat daripada pensyariatan sembahyang (mencegah perbuatan keji dan mungkar) tidak tercapai.

Begitu juga kewajipan menunaikan fardhu puasa di bulan Ramadhan. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [Al-Baqarah: 183]

Puasa yang telah difardhukan oleh Allah s.w.t. mesti dilaksanakan. Tercapai atau tidak matlamat menjadi orang yang bertakwa bukan menjadi neraca dalam menentukan samada ia perlu dilaksanakan atau tidak.

Mewujudkan suasana keadilan:

Tidak dapat dinafikan bahawa Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang Hudud telah mewujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suasana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum. Ini kerana pertama; dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.

Pun begitu, perlu difahami bahawa suasana keadilan adalah berbentuk subjektif yang sukar untuk dinilai. Untuk menentukan sama ada suasana itu wujud atau tidak hanyalah akan menyebabkan orang yang tidak mahu melaksanakan hukuman Hudud akan beralasan tidak wujud suasana keadilan walaupun pada hakikatnya tidak demikian.

Sebagai contoh di negeri Kelantan, menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerajaan Pas Kelantan sudah menyiapkan asas kukuh untuk pelaksanaan hukum Hudud berlandaskan konsep ubudiyah (kepatuhan), itqan (tekun) dan masuliyah (bertanggungjawab) dalam pentadbirannya. Penerangan kepada masyarakat juga dibuat berterusan melalui kuliah agama terutama pada setiap hari Jumaat mendapat sambutan menggalakkan daripada umum. Pelaksanaan program kebajikan oleh kerajaan negeri setakat ini sudah mencukupi untuk menghalang niat sesetengah pihak melakukan perkara yang menjadi kesalahan dalam peruntukan Hudud akibat desakan kewangan seperti projek Al-It’am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Ini semua persiapan untuk membolehkan rakyat berasa tidak perlu lagi mencuri, menipu dan merompak. Jadi asas kondusif ini sudah cukup baik di Kelantan.

Ini adalah perspektif daripada T.G. Nik Abdul Aziz tentang suasana keadilan di Kelantan. Pun begitu, bagi yang tidak mahu menjadikan hukuman Hudud sebagai undang-undang akan memberi dan mencari pelbagai alasan untuk menunjukkan ketidakadilan suasana di Kelantan.

Justeru, penulis melihat suasana keadilan tidak boleh menjadi penanda aras dalam menentukan sama ada hukuman Hudud boleh dijadikan undang-undang atau tidak. Pun begitu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk mewujudkan suasana keadilan ini agar apabila sesuatu kes yang dibicarakan di bawah undang-undang Hudud dapat berjalan dengan adil dan saksama dan tidak adanya syubhat

Komen (5)

  1. kamar baharin bin mohamed says:

    saya sangatpsangat bersetuju dgn pendapat anda dan saya mengycapkan jutaan terimaksih dengan penerangan yg begitu lengkap… yang selama ini membuatkan saya juga terkeliru bagaimanakah atau bilakah hudud itu sepatutnya dilaksanakan.
    ini pendapat saya pula. jika malaysia ini hendak mengujudkan perlaksanaan hukum hudud , kita semua kena berubah, iaitu kepentingan agama mesti didahaulukan..
    bagaimana?
    pada pendapat saya.. malaysia sekarang diperintah oleh golongan atau parti yg tidak menitikberatkan ttg hukum n kehidupan islam yg sebenar, walaupun byk kebaikan yg dilakukan dan rakyat pula tdk ada penekanan ttg agama yg sebenar, jd kita kena sama2 mengubah parti itu supaya menjd parti islam dgn cara cerdik pandai islam n org2 yg benar2 ingin menjdkan negara ini benar2 negara islam dr segala aspek dgm memasuki perti n mengubahnya… kerana kita tdk blh mengubah rumah org lain kecuali kita menjd ahli keluarganya,,,
    tidak perlu kita bersengkonkol dgn agama r bangsa lain apabila kita sudah kuat… sbbnya kita agama nbangsa yg majority . selagi kita bercakap di luar dr golongan keluarga mereka sampai bila pun negara ini tdk akan dpt melaksanakan sebagai mana kehendak agama, AGAMA DIDAHULUKAN.. JGN KEPENTIGAN PERIBADI DIDAHULUKAN… kita kena juga guna akal untuk memartabatkan agama.. jgn kita asyik menyalahkan org lain saja… kita kena tgk juga apakah cara pendekatan kita itu menguntungkan agama atau tidak… ITU SAJA PENDAPAT SAYA… SAYA BKN ORG YG CERDIK PANDAI… HANYA SEKADAR PENDAPAT…. KLU SALAH PANDANGAN SAYA SAHA MOHON MAAF… KRN SAYA BUKAN ORG YG BERILMU…

  2. adnan rizuan says:

    mohon copy

  3. Ustaz Nik Nasri says:

    silakan

  4. Idris Bakar says:

    Aslmlkm,
    Saya berpandangan adalah tidak tepat memberi gambaran perlaksanaan Hudud sebagaimana perlaksanaan Solah dan Puasa. Kalau tepat sudah tentu Allah swt menjadikan Hudud sebahagian Rukun Islam.
    Saya juga ingin bertanya di antara negara2 seperti Malaysia, Brunei, Thailand, Singapura dan Indonesia; negara manakah yang berada di kedudukan terbaik melaksanakam Hudud? (Saya tidak bertanya mahukah atau tidak negara2 ini melaksanakan hudud)

  5. Ustaz Nik Nasri says:

    Bumi ini semuanya milik Allah, tiada pengecualian, wajib ditegakkan hukum Allah secara menyeluruh, bukan hanya hudud

Hantar Komen Anda