Hudud: Yang Engkar, Dolak-Dalik, Keliru Dan Faham

Najib Tolak Perlaksanaan HududIsu hukum hudud timbul kembali, termasuk polemiknya sekali. Ada pemimpin DAP engkar hudud sudah dimaklumi. Dr Mahathir perlekeh hudud sudah lama diketahui. UMNO dolak-dalik tentang hudud sudah sebati. Media arus perdana permainkan isu hudud sudah dimengerti. Namun apabila ada pemimpin PAS pusat membuat kenyataan tentang hudud atau ucapannya dipetik dan dijadikan tajuk utama akhbar terutama hampir dengan PRU13 ini, ia menjadi seperti undur ke belakang menuju dalam perigi.

Saya sendiri-setakat sedikit ilmu yang ada-menulis beberapa artikel tentang hudud bagi menyuburkan kefahaman masyarakat agar bersedia menerima hukuman Allah ini bagi manfaat mereka juga (bukan sebaliknya dengan membuat kenyataan yang memberi faham agar hudud ditolak). Artikel seperti: Isu Hudud: BN Rela Jenayah Subur Di Bawah Pemerintahannya , Hudud: Penasihat Agama MB Pening, MB Lagi Bingung, Buku Kecil Tentang Hukum Hudud, termasuk khutbah Jumaat selepas PAS Terengganu meletakkan Al-Quran, Sunnah, Ijmak Dan Qias sebagai Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu: Mereka Bangun Tinggalkan Masjid Bila Dibaca Ayat Qisas Dalam Khutbah.

Saya merasa kurang selesa dan rimas apabila membaca tajuk berita/artikel mengenai hudud yang belum masanya serta sokongan terhadap perkara itu yang dikaitkan dengan pandangan pemimpin PAS peringkat Pusat.

Mujur Mursyidul Am pantas menjawab dalam tulisannya Kefahaman bukan alasan tangguh hudud (447), disusuli Presiden PAS ‘Kenapa UMNO Dolak-Dalik Dgn Hudud (477)‘. Saya juga jelira membaca peringatan Dr Azman, AJK BPPNT dengan bidalannya ‘Cekoh Durian Dari Pangsanya (530)‘ serta nasihat Dato’ Ustaz Abu Bakar Cik agar pemimpin (tentunya termasuk pemimpin PAS) berawas membuat kenyataan. Saya juga ada membaca tulisan ustaz Zaharudin Muhammad (737), ahli Majlis Syura PAS yang agak panjang dan kritikal terhadap isu berkaitan. Tulisan sedikit pedas agar mereka yang merasa pedas itu cepat-cepat mencari air, bukan dari sebarang perigi tetapi dari mata air yang jernih, jauh dari sebarang racun dan bahan toksid.

Bagi ahli PAS secara umum, serahkan perkara ini kepada mereka yang berotoriti dalam jamaah kita ini, bukan kerana semata-mata jawatannya tetapi keilmuan dalam bidangnya dan fokuskan kepada perjuangan, PRU13 dan agenda negara berkebajikan.

Kepada masyarakat awam-Islam dan bukan Islam-anda jangan bimbang dengan hukum hudud tetapi bimbangilah terhadap pelbagai jenayah yang berlaku terhadap anda atau sekitar anda.

Hantar Komen Anda