Tafsir al-Fatihah: Surah Agung Dan Ruqyah

quran-very-oldAbu Said bin al-Mualla berkata: ‘Aku pernah solat di masjid. Rasulullah SAW memanggilku tetapi aku tidak menyahut sehingga aku selesai solat. Selepas itu aku datang kepada Baginda. Nabi SAW bertanya: ‘Apa yang menghalangmu datang kepadaku?’ Aku menjawab: ‘Wahai Rasulullah! Aku solat tadi.’ Nabi bersabda: “Bukankah Allah berfirman:

Al-Anfaal 24

“Wahai orang beriman! Sambutlah seruan Allah dan Rasul apabila ia menyerumu kepada perkara yang memberi kehidupan kepadamu” al-Anfal:24

Kemudian Nabi SAW bersabda: “Aku akan ajarkan kamu satu surah paling agung dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini.” Nabi pegang tanganku. Ketika hendak keluar dari masjid, aku berkata: ‘Wahai RasulAllah! Tadi engkau berkata akan mengajarkan aku surah paling agung dalam al-Quran.’ Nabi menjawab: “Benar! iaitu Alhamdulillahi RabbilAlamin ia adalah as-Sab’ul-Mathani dan al-Quran al-Azim yang diturunkan kepadaku.”

Al-Fatihah juga disebut sebagai ar-Ruqyah. Ia berdasarkan satu hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Fadhail al-Quran yang menceritakan kisah para Sahabat yang musafir, kemudian ketua sebuah kampung sakit dan meminta dibacakan ruqyah. Seorang sahabat membaca al-Fatihah dan diberikan 30 ekor kambing. Huraian mengenai surah agung dan ruqyah ini dikupas dalam kuliah audio mengenai surah al-Fatihah

Hantar Komen Anda