Jgn hakis ciri hizbullah PAS dgn sebab pemilihan

Muktamar PAS Tahunan ke 55 akan menyaksikan pertandingan dan pemilihan. Di peringkat negeri dan kawasan ia telah selesai. Bila disebut bertanding dan memilih, maka akan ada yang menang dan tidak.

Dalam politik UMNO dan seangkatan yang sekular dengannya, kemenangan dan terpilihnya menjadi pemimpin bukan sahaja menjadi peluang memperkasa diri sendiri, tetapi yang lebih jahat ialah peluang mencantas mereka yang bertanding atau yang kalah.

PAS yang bukan sahaja sebagai parti politik tetapi kesinambungan gerakan Islam dan perjuangan Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW mesti memastikan ia bersih dari gejala buruk seperti ini.

Musuh PAS ramai dan banyak. Media luar, parti luar, orang luar, bahkan syaitan dan penyakit dalam diri sendiri boleh menjadi musuh PAS. Semua musuh ini yang bermaksud menjahanamkan PAS sebagai satu kesinambungan gerakan mengislahkan masyarakat dan dunia ini mesti dibanteras. Musuh luaran barangkali mudah dikenalpasti. Namun musuh dalaman dalam diri mungkin agak sukar disedari.

Alhamdulillah sejak puluhan tahun Tok Guru Mursyidul Am dan Tok Guru Presiden bersama kepimpinan ulama sentiasa mengingatkan kepada kita ciri-ciri gerakan Islam yang membezakan kita dengan gerakan yang lain. Ciri hizbullah dari surah al-Maidah yang menekankan di antaranya merendah diri sesama mukmin itu mesti diingat dan diamal sungguh-sungguh.

Dalam suasana terakhir kini, musuh-luaran atau dalaman-memprovokasikan istilah kumpulan Erdogan dan bukan Erdogan, pro-muqabalah dan pelbagai istilah yang secara sedar atau tidak, boleh memecahbelahkan parti.

Mungkin kumpulan begini ada dalam parti, tidak mustahil. Tetapi yang harus difahami ialah kecenderungan terhadap sesuatu pandangan tidak semestinya bermakna mesti mewujudkan kelompok dan geng dalam jemaah. Bentuk kelompok-kelompok inilah yang sangat ditunggu terutamanya oleh media untuk dikipas-kipaskan.

Strategi samada bersama Pakatan Rakyat atau bersedia berbincang dengan UMNO dan sesiapa sahaja boleh berubah-ubah mengikut maslahah gerakan. Namun, berpecah-belah dan tiadanya tawadhuk antara satu sama lain ialah satu dosa di dalam berjemaah.

Kebijaksanaan pimpinan di pelbagai peringkat dan ahli terutama dalam iklim politik sekarang sangat dituntut. Mood terhadap BN paling teruk dan sebaliknya terhadap PAS, DAP dan PKR sedang meningkat. Jangan sia-siakan mood ini. Dan jangan hakis ciri hizbullah PAS dengan sebab pemilihan dan pertandingan dalam Muktamar.

Hantar Komen Anda