Mursyid al-Am PAS, Datuk Dr Harun Din Tinggalkan Legasi
16-09-2016 | Kategori Artikel: Artikel, Ulama/Ulama Pelapis | Tiada KomenBenarlah Allah yang berfirman, bermaksud: “Satu diri itu tidak tahu di bumi mana dia akan mati.” Datuk Dr Harun Din meninggal di California, satu nama dan satu tempat yang cukup jauh bagi ahli keluarga almarhum, penuntut dan pengamal perubatan Islam DarulSyifa, pemimpin dan penyokong PAS mahu menziarahi kuburnya. Namun itulah takdir dari Yang Maha Kuasa Dan Maha Mengetahui.
Ia bukan suatu yang asing. Nabi Adam dari syurga, wafatnya di bumi. Nabi Ibrahim dari Iraq, wafatnya jauh dari bumi Iraq. Nabi Muhammad SAW lahir di Mekah, wafatnya di Madinah. Para Sahabat dan ulama lahir dan membesar di pelbagai tempat, tetapi maqam mereka juga bertebaran di seluruh pelusuk dunia.
Yang penting bukan di bumi mana kita mati, kerana bumi ini milik Allah, tetapi bagaimana cara kita mati. Kalau mati itu di tepi Kaabah sekalipun, tetapi mensyirikkan Allah seperti kalangan musyrikin Mekah di awal Islam, apa ertinya?